PRK Kuala Kubu Baharu: Warga emas bawa gambar Yang di-Pertuan Agong dipenjara, denda - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Baharu: Warga emas bawa gambar Yang di-Pertuan Agong dipenjara, denda

Gambar Agong
P. Ramasamy meninggalkan Mahkamah Sesyen selepas dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda apabila didapati bersalah mempamer gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti pada kempen PRK Kuala Kubu Baharu, di Hulu Selangor, Selangor. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Alasan tidak tahu penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti politik dalam kawasan pilihan raya merupakan satu kesalahan tidak membolehkan seorang warga emas mengelak daripada dikenakan hukuman di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Kesalahan tersebut menyebabkan tertuduh, P. Ramasamy, 66, dijatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM3,000 selepas dia mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai majistret.

Mengikut pertuduhan, lelaki berasal dari Tanjong Rambutan, Perak itu dituduh mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan jenis Mazda yang juga membawa sepanduk Pakatan Harapan (PH).

Tertuduh dikatakan mempunyai kecenderungan untuk  mengembangkan perasaan permusuhan antara golongan pengundi yang berbeza dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Tindakan Ramasamy itu dikatakan sebagai cubaan mendorong mana-mana pengundi supaya mengundi calon daripada PH.

Kesalahan tersebut dilakukan dekat Taman Bukit Bunga, Kuala Kubu Baharu, di sini kira-kira pukul 5.40 petang, pada 4 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh melekatkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kedua-dua sisi dan belakang kenderaan tersebut serta sepandu gambar baginda di bahagian belakang. Kenderaan tersebut juga dipasang dengan bendera Malaysia dan Negeri Johor.

Justeru, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh ketika diberi ruang merayu hukuman memaklumkan tidak menyedari tindakannya datang untuk memeriahkan kempen pilihan raya di Kuala Kubu Baharu dengan membawa gambar Yang di-Pertuan Agong merupakan satu kesalahan.

“Puan hakim, saya memohon ampun dan maaf, saya tidak menyedari penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai suatu kesalahan. Saya cuma mahu memeriahkan kempen pilihan raya di sini. Jadi, saya sekali lagi memohon ampun dan maaf,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan kemudian menyatakan tidak tahu tentang penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong sebagai satu kesalahan adalah bukanlah satu alasan yang boleh diterima.

“Justeru saya memohon hukuman yang berat dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja selain boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini kerana tertuduh juga meletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong bersama bendera parti menunjukkan dia tidak menghormati baginda dan institusi diraja. Tindakan tersebut juga dilihat melanggar empat prinsip rukun negara.

“Permohonan hukuman berat dikenakan juga adalah kerana mengambil kira kepentingan orang awam adalah mengatasi kepentingan tertuduh sendiri. Hukuman juga boleh memberikan pengajaran kepada orang awam,” tegasnya.

Hakim Siti Fatimah kemudian memaklumkan mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh dan menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM3,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN