ALOR SETAR: Mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah hari ini memutuskan pemberian bantuan khas bernilai RM400 kepada setiap kakitangan awam negeri yang akan dibayar pada 14 September ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian itu selari dengan pembayaran Bantuan Khas Penghargaan (BKP) berjumlah RM300 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kakitangan awam Persekutuan, pada 27 Julai lalu.
Menurut beliau, pemberian khas kepada 5,600 kakitangan awam negeri itu melibatkan peruntukan kira-kira RM2.08 juta.
“Ada keputusan besar diputuskan dalam sebentar tadi iaitu pemberian bantuan khas kepada kakitangan awam negeri kerana Perdana Menteri dah umum BKP kepada kakitangan awam Persekutuan sebanyak RM300 sempena pilihan raya.
“BKP itu telah dibayar sewaktu tempoh berkempen tetapi kita tak buat pada masa itu kerana takut menjadi sogokan pilihan raya. Maka kita buat keputusan ini selepas pilihan raya negeri (PRN) agar setiap kakitangan awam kerajaan negeri diberi bayaran RM400,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Pada 27 Julai lalu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pemberian BKP sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.
Bayaran itu dilangsaikan 10 Ogos lalu dengan golongan pesara, penerima pencen terbitan, pesara Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta tidak berpencen turut menerima bantuan sebanyak RM200.
Sementara itu, Muhammad Sanusi enggan mengulas mengenai laporan yang mendakwa terdapat rasa tidak puas hati daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap pelantikan Exco Kedah.
“Yang itu kena tanya mereka, mana boleh tanya saya kerana tak puas hati dok kat depa. Kalau tanya saya, mana saya tahu? Saja nak korek kan bagi jadi tajuk (berita). Perkara itu tak berbangkit lagi dan dah dapat diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, satu pertemuan antara Setiausaha Kerajaan Negeri dengan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang bertanggungjawab terhadap agensi Persekutuan telah diadakan selepas berakhir PRN bagi menyelaras kerja-kerja pentadbiran yang bakal dilaksanakan antara pengurusan negeri dan pusat.
Katanya, langkah itu diharap dapat menyelesaikan tanggapan serta dakwaan sebelum ini yang menyatakan Exco negeri tidak mendapat kerjasama daripada agensi Kerajaan Persekutuan.
“Saya rasa pertemuan itu akan menyelesaikan tanggapan serta andaian tersebut. Saya percaya agensi serta pegawai di peringkat Persekutuan bersikap profesional kerana mereka dilantik atas dasar pengurusan yang profesional juga,” katanya. –UTUSAN










