LIMBANG: Seorang pelajar lelaki sekolah menengah terpaksa menahan kesakitan selepas kakinya tersepit pada penutup longkang ketika baru saja mahu mulakan sesi persekolahan di sini, pagi tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Clarence D.Primus Tiandun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari sekolah menengah terbabit pada jam 6.12 pagi tadi dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota penyelamat mendapati kaki seorang pelajar lelaki telah tersepit pada celah besi penutup longkang sehingga ke bahagian paha.
“Namun pelajar terbabit tiada mengalami kecederaan yang serius,” jelasnya.
Tambahnya lagi, operasi memotong dan merenggangkan besi tersebut dengan menggunakan peralatan kecemasan mengambil masa 12 minit.
“Anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 12 minit bagi usaha memotong besi tersebut menggunakan peralatan kecemasan.
“Setelah keadaan selamat dan selesai pasukan bertolak balik ke balai,” katanya. –UTUSAN










