KUALA LUMPUR: Mana-mana penyokong parti politik diingatkan untuk tidak meraikan kemenangan calon mereka dengan melakukan perarakan bermotosikal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan melakukan Sekatan Jalan Raya (SJR) menerusi Op Kawal Nusa di seluruh negara bermula pukul 12 tengah malam ini.
Kata beliau, pihaknya sudah bersiap siaga dalam melaksanakan Kawal Nusa bagi mencegah jenayah dan menentukan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin.
“Operasi bukan disebabkan PRN, tetapi SJR dilakukan setiap bulan bagi mencegah kegiatan jenayah,” katanya dalam sidang akhbar khas, di Bukit Aman hari ini.
Razarudin berkata, pihaknya juga bersiap siaga pada pasca PRN dengan mengawal Istana dan kediaman Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bagi menentukan tiada gangguan kepada Sultan dan Tuan Yang Terutama (TYT).
“Semua peti undi dan kertas undi juga sudah dihantar ke 183 pusat penjumlahan undi setakat pukul 6 petang tadi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razarudin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas-petugas PDRM yang sudah bertungkus lumus daripada proses penamaan calon sehingga ke hari ini dan juga pasca PRN.-UTUSAN










