KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan membangunkan tanah terbair di negeri ini dengan ladang nanas dalam skala besar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, pengeluaran secara konsisten itu akan mewujudkan rangkaian pembekal bagi industri serta membuka potensi Kelantan sebagai negeri pengeluar dan pengeksport nanas.
Katanya, hasil inisiatif itu, keluasan tanaman nanas di Kelantan menunjukkan peningkatan memberangsangkan dan dijangka terus berkembang dengan disokong oleh pelbagai bentuk bantuan seperti geran, program agropreneur muda dan sistem penarafan pekebun bagi meningkatkan produktiviti industri.
“Pada 2023, keluasan tanaman nanas direkodkan seluas 47.38 hektar, diikuti 44.56 hektar pada 2024 dan meningkat kepada 88.13 hektar pada 2025.
“Berdasarkan perkembangan semasa serta permintaan terhadap industri nanas, jangkaan keluasan tanaman baharu pada tahun 2026 dianggarkan mencecah sehingga 140 hektar,” katanya semasa menjawab soalan Mohd. Almidi Jaafar (Pas-Bukit Bunga) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini. – UTUSAN










