Lelaki tempatan, etnik Rohingya didakwa seludup PATI

Lelaki tempatan, etnik Rohingya didakwa seludup 12 PATI

KEDUA-dua tertuduh diiringi polis semasa hadir untuk prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan.- UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang lelaki tempatan dan etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga negara Myamar dan Bangladesh di kawasan semak Kampung Telaga Bata Chabang Empat, Tumpat, dekat sini bulan lalu.

Mohd. Rozi Isa, 48, dan Solim Sultan Amin, 31, yang merupakan etnik Rohingya serta memiliki kad pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR) hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyeludup kesemua warga asing itu dengan menggunakan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza di kawasan semak Kampung Telaga Bata Chabang Empat kira-kira pukul 11 malam, 25 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.  Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 21 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×