Hampir RM21 juta disalur kepada sekolah agama rakyat 

SIDANG DUN:  Hampir RM21 juta disalur kepada sekolah agama rakyat 

SATIFUL BAHARI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyalurkan peruntukan hampir RM21 juta kepada sekolah-sekolah agama rakyat di negeri ini bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, bantuan tersebut melibatkan beberapa skim termasuk Dana Skim Al-Ghazali dan bantuan one-off kepada institusi pendidikan Islam swasta (IPIS).

“Bagi Dana Skim Al-Ghazali, jumlah peruntukan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM5,210,840 diikuti RM5,141,110 pada 2024 dan RM5,114,550 pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan RM15,466,500,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Shafizi Ismail ( Pas- Batu Rakit) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini hari ini.

Katanya, selain itu, bantuan one-off kepada IPIS pula melibatkan RM2.74 juta pada 2024 dan RM2.735 juta pada 2025 manakala tiada kelulusan diberikan pada tahun 2023.

Beliau berkata, bantuan tersebut melibatkan sebanyak 135 institusi bagi setiap tahun pada 2024 dan 2025, dengan jumlah keseluruhan peruntukan bantuan one-off mencecah RM5,475,000.

Katanya, keseluruhan peruntukan yang disalurkan itu bertujuan menyokong operasi serta pembangunan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

“Kesimpulannya, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM21 juta dalam tempoh tiga tahun ini bagi memastikan kelangsungan dan pembangunan sekolah-sekolah agama rakyat di Terengganu,” katanya.

Sementara itu , Satiful Bahari berkata, kerajaan negeri bercadang membina bangunan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Rantau Abang pada  2030 bagi memenuhi keperluan pendidikan Islam di kawasan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN