KEBANYAKAN orang mengenali Safwan Nazri sebagai pempengaruh ataupun Youtuber yang selalu menghasilkan video jenaka.
Jarang sekali orang mengingatinya sebagai pelakon walaupun jejaka itu pernah muncul di televisyen beberapa kali menerusi drama Kan Kukejar Cinta Kamu dan Dua Takdir Cinta yang ditayangkan beberapa tahun lalu.
Menurut Safwan atau nama penuhnya Muhammad Safwan Mohammad Nazri, 29, mungkin kerana perwatakannya yang ‘gila-gila’ di media sosial, dia sukar menarik kepercayaan penerbit dan pengarah untuk menyandang watak serius.
“Orang nampak saya sebagai pelakon jenaka. Sebab, itulah diri sebenar yang saya tampilkan di media sosial. Di situlah juga punca pendapatan saya.
“Sebenarnya saya jadi pempengaruh sebab kata orang itu ialah syarat jika mahu jadi pelakon,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Malbatt: Misi Bakara.
Setelah lama berharap, bekas finalis Hero Remaja 2017 ini gembira kerana pengarah, Adrian Teh memberikan kepercayaan kepadanya untuk terlibat dalam filem aksi, sebuah genre yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
“Adrian selaku pengarah memberi kepercayaan kepada saya untuk turut serta dalam projek ini.
“Dia panggil saya untuk buat uji bakat. Kemudian dia tengok saya macam okey untuk bawa watak askar.
“Syukur dia nampak bakat dan minat saya dalam dunia lakonan,” tambahnya.
Gembira bertukar duka
Keterujaan pelakon Safwan Nazri tiba di bumi Turki untuk penggambaran filem Malbatt: Misi Bakara bertukar hiba apabila isterinya, Lyna Khairul memaklumkan anak sulung mereka yang sudah berada empat bulan dalam kandungan tidak direzekikan hadir ke dunia.
“Bagi orang lain, mungkin keguguran adalah perkara biasa. Namun untuk saya dan isteri, semestinya kami beremosi kerana itu adalah cahaya mata pertama kami.
“Sampai sahaja di Turki, isteri maklumkan air ketuban pecah dan berdarah. Lima hari kemudian barulah dia maklumkan yang anak saya sudah tiada. Saya menangis sebelum ditenangkan Adrian, Hairul dan Taufiq.
“Setiap hari saya berdoa dan tidak boleh fikir benda lain. Saya bergantung kepada Allah,” katanya..
Sepanjang 11 hari penggambaran, berkali-kali Safwan berfikir untuk pulang.
Namun setelah berbincang dengan keluarga dan membuat panggilan video bersama isteri, masing-masing sepakat agar Safwan meneruskan tanggungjawab dengan menyelesaikan penggambaran di negara itu.
“Fokus saya terganggu terutama untuk minggu pertama di Turki sehinggakan saya ulangi tujuh kali ketika melakonkan babak dalam kereta kerana gagal memberi tumpuan.
“Kebetulan dalam filem ini saya membawakan watak seorang ayah. Hanya tiga saat sahaja saya perlukan untuk mengeluarkan air mata. Saya dapat menjiwainya,” tambahnya lagi yang sempat menamakan arwah anak lelakinya sebagai Mohd Kaif.
Safwan membawa watak Isa, sebuah karakter yang diilhamkan daripada arwah Koperal Mat Aznan Awang yang terkorban semasa pertempuran di Mogadishu. Demi mendalami watak tersebut, jejaka asal Kedah itu sempat bertemu dengan waris arwah untuk bertanya lebih lanjut tentang keperibadian arwah semasa masih hidup.
“Sejujurnya, ia satu penghormatan buat saya melakonkan satu-satunya tentera yang terkorban semasa pertempuran itu.
“Saya ada berjumpa dengan isteri dan anak arwah berbual mengenai peribadinya semasa hayat.
“Rupanya arwah orang Kedah sama seperti saya. Jadi saya minta izin pengarah untuk bawa loghat Kedah sepanjang filem ini. Saya puas,” tambahnya.
Malbatt: Misi Bakara menceritakan kisah benar yang dihadapi Batalion Malaysia (Malbatt) apabila menjadi satu-satunya pasukan ketenteraan yang menawarkan khidmat untuk menyelamatkan tentera Amerika Syarikat di Somalia selepas helikopter Black Hawk mereka ditembak jatuh pada 1993.
Filem ini djangka menemui penonton bermula 24 Ogos ini. Turut sama menjayakan filem ini ialah Hairul Azreen, Bront Palarae, Tony Eusoff, Shaheizy Sam, Taufiq Hanafi, Theebaan G dan Dini Schatzmann.