SERDANG: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggesa lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) turut sama berganding bahu mengatasi isu keterjaminan makanan yang membelenggu seluruh dunia.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pihaknya yakin universiti di negara ini mempunyai banyak kepakaran dan penyelidikan yang boleh mengembangkan lagi sektor pertanian dalam negara.
Malah, katanya, KPT akan melihat dan merangka kaedah tertentu dalam usaha mengoptimumkan pelbagai Pusat Kecemerlangan (CoE) dan Program Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang ada di semua institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kesemua pusat ini mesti bekerjasama dan menggabungkan kekuatan masing-masing untuk negara.
“Universiti tidak boleh berhenti sekadar menjadi tempat rujukan. Universiti mesti turut mengambil langkah untuk memacu dan memimpin perubahan merentas pagar kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Selain itu, Khaled berkata, antara universiti yang dilihat mampu menjadi penyumbang kepada isu keterjaminan makanan ini adalah UPM.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini juga pernah mengkhususkan UPM sebagai universiti pertanian yang dibangunkan dengan mandat, fokus dan harapan untuk memberi segala pencerahan dan membina kepakaran dalam pertanian.
“UPM merupakan universiti yang mampu melaksanakan isu besar ini (keterjaminan makanan) menerusi penyelidikan dan kajian ia akan menguat serta mengukuhkan sektor pertanian dalam negara.
“Ia bukan sahaja dapat mengatasi masalah ini, tetapi juga dapat melahirkan peluang serta pihak yang akan menceburkan diri dalam bidang pertanian,” katanya.
Terdahulu, pada persidangan tersebut, Khaled turut melancarkan varian baharu padi hasil penyelidikan UPM yang dinamakan sebagai Putra 1 dan Putra 2.
Jelas beliau, kedua-dua varian tersebut dapat meningkatkan pengeluaran padi kepada petani dan ia mampu bertahan dalam keadaan cuaca ekstrem seperti banjir serta tahan daripada serangan penyakit.
“Jadi, kita sarankan supaya pesawah-pesawah dalam negara dapat menanam padi-padi yang dihasilkan oleh UPM ini.
“Ada banyak lagi produk-produk lain yang saya minta universiti-universiti hasilkan supaya dapat meningkatkan hasil pertanian negara dan memberi pulangan lumayan kepada mereka yang menceburi bidang pertanian,”katanya. -UTUSAN










