IPOH: Usaha perlu dilakukan untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai kegiatan termasuk pembangunan budaya dan ekonomi agar ia tidak menjadi monumen sepi yang digunakan pada waktu tertentu sahaja.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tindakan Rasullah SAW sebaik sahaja sampai ke Madinah bukan sekadar membina masjid, tetapi membangunkan masjid supaya ia dijadi ikutan.
Titah baginda, Rasulullah SAW meletakkan masjid berperanan sebagai pusat pentadbiran, pembangunan ilmu, budaya dan pusat ekonomi.
Baginda bertitah, membangunkan, memakmurkan dan mengimarahkan masjid adalah sunnah.
“Masjid tidak seharusnya sekadar dimakmurkan seminggu sekali pada hari Jumaat, 30 malam setahun pada bulan Ramadan, dua pagi setahun pada pagi Aidilfitri dan Aidiladha.
“Selebihnya, masjid tinggal dalam isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Ahli-Ahli Majlis Perundingan Masjid di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.
Sultan Nazrin bertitah, banyak masa terlibat dalam urusan merancang pembinaan sesebuah masjid dan banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid.
Oleh itu titah baginda, falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami dan difahami supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara, dihamparkan permaidani tebal dan disilaukan cahaya ‘chandelier’, tidak menjadi monumen sepi.
Mengenai Majlis Perundingan Masjid, Sultan Nazrin bertitah, ia adalah majlis syura yang merupakan entiti baharu yang diperkenalkan dan ditubuhkan buat pertama kali.
Titah baginda, semoga melalui majlis itu akan berlaku perubahan minda dan perubahan budaya, menghasilkan ramuan dan kaedah baharu untuk mengimarahkan masjid.
Baginda bertitah, Ahli-ahli Majlis Perundingan Masjid hendaklah berfikiran besar, membolehkan masjid berperanan secara lebih dinamik lagi bermakna, dikeluarkan dari kotak sempit.
“Ahli Majlis perlu dimerdekakan daripada kepompong pemikiran lama yang telah diformulasikan secara terancang oleh penjajah pada masa lalu, dengan tujuan tersirat mahu membatasi peranan masjid kepada urusan-urusan ibadat yang ditakrif dengan dimensi yang sempit.
“Semoga masjid-masjid di negeri Perak akan dapat ditingkatkan pengimarahannya melalui idea-idea segar yang dicetuskan dalam persidangan Majlis Perundingan Masjid,” titah baginda. – UTUSAN










