Hilangnya permata Simpang Pelangai

Hilangnya permata Simpang Pelangai

ALLAHYARHAM Johari Harun berjaya meletakkan Simpang Pelangai pada landasan pembangunan selari dengan kawasan lain di negeri ini. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Penduduk Simpang Pelangai di sini kehilangan permata sekelip mata ekoran pemergian buat selama-lama­nya wakil rakyat mereka, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat terhempas mengorbankan 10 mangsa di Elmina, Seksyen U16 di Shah Alam, Selangor.

Rata-rata penduduk ditemui menyifatkan Allahyarham pemimpin berjiwa rakyat yang lahir dari hati nuraninya berikutan layanan saksama dan tidak pilih kasih kepada semua lapisan rakyat di situ.

Seorang penduduk kampung, Hayat, Anuar Mohd. Yusof, 59, berkata, Allahyarham Johari pemimpin kurniaan Allah SWT kepada penduduk Simpang Pelangai dan negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Allahyarham tiada ganti kerana sejak dipilih wakil rak­yat menggantikan Tan Sri Adnan Yaakob dan Exco kerajaan negeri berjaya menyediakan 400 unit rumah untuk rakyat.

“Watak Allahyarham begitu pemurah kerana jika membeli produk tani penduduk akan membayar lebih daripada har­ga asal selain sumbangan pe­ribadi,” katanya di Simpang Pe­langai di sini.

Bagi pemilik kedai makan Mak Su, Noratira Othman me­ngakui turut terkejut kematian tragis Allahyarham Johari yang menjadi pelanggan tetap setiap kali hadir ke Simpang Pelangai.

Menurutnya, kegemaran Allahyarham ialah daging salai, kari kambing dan junggek (kulit lembu) masak lemak ala masakan minang.

“Allahyarham setiap kali ke kedai saya akan membayar se­mua makanan siapa yang ada ketika itu sambil beramah mes­ra dengan mereka.

“Dari raut wajahnya yang jernih terpancar wajah keikhlasan dan pemurah tanpa rasa riak dan sombong. Sikap itulah dia disayangi rakyat,” katanya.

Penduduk Simpang Pela­ngai, Mohd. Qayyum Azim Zainal Abidin, 31, berkata, Allahyarham sudah pun menunjukkan kewibawaan kepemimpinan sebelum bergelar wakil rakyat.

Menurutnya, penduduk kini seolah-olah ‘patah kaki’ apabila wakil rakyat yang menjadi harapan tiada lagi bagi mene­ruskan legasi pembangunan di Simpang Pelangai.

Tambah beliau, era kemajuan Simpang Pelangai semakin menyerlah sejak Allahyarham terpilih menjadi wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri.

Seorang lagi penduduk, Muhamad Firdaus M. Fadzilah, 31, berkata, Allahyarham Johari berjaya meletakkan Simpang Pelangai pada landasan pembangunan selari dengan kawasan lain di negeri ini.

“Usaha beliau untuk mendapat jajaran lebuhraya Central Spine Road dari Simpang Karak ke Simpang Pelangai terus ke Kuala Pilih telah mendapat perhatian kerajaan Pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini