Henti segera salah laku cemar integriti - Shuhaily

Henti segera salah laku cemar integriti – Shuhaily

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen serah tugas pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di antara SAC Habibi Majinji (kiri) dan Azry Akmar Ayob (kanan) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Shuhaily Mohd. Zain mengingatkan pegawai dan anggota di bawah kontinjennya agar segera meninggalkan salah laku yang dilakukan sebelum ini bagi memastikan pasukan ini bersih dan berintegriti.

Beliau menegaskan, sejak memulakan tugas, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki bagi memastikan pasukannya tidak terus dilabel sebagai gagal.

“Jika seorang dalam pasukan gagal, semua akan gagal. Kita akan terus gagal kerana terdapat kelompok pegawai belum sedar keperluan mengubah perkara yang tidak baik.

“Saya turut mengingatkan kepada Ketua Polis Daerah untuk tidak lagi hanya memberi arahan kepada anak buah, tetapi menjadi seorang pemimpin dan bukan ‘bos’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut beliau, penegasan yang dibuat adalah seiring dengan visi dan misi diamanahkan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin.

Tambah Shuhaily, adalah lumrah untuk seorang pemimpin membuat keputusan yang tidak popular bagi memastikan tidak berlaku kemudaratan di dalam pasukan.

“KPN minggu lepas mengumumkan usaha untuk ‘profile’ pegawai kanan dan anggota yang menjalani tugas di luar bidang kuasa mereka. tuan-tuan dan puan-puan tahu di mana kalian berdiri.

“Sekiranya ada yang melaksanakan perkara ini di luar lingkup tugasan pihak polis, saya tidak kompromi dengan salah laku tidak kira dari sesiapa pun,” katanya.

Dalam majlis hari ini, Datuk Azry Akmar Ayob secara rasminya dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini menggantikan pemangkunya, Senior Asisten Komisioner, Habibi Majinji.

Majlis pemakaian pangkat serta watikah pelantikan itu disaksikan Shuhaily.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Habibi Majinji dan Azry Akmar.

Mingguan Malaysia melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau termasuk melakukan profiling terhadap pegawai dan anggota pasukan itu yang hidup mewah tidak setara dengan jawatan dan gaji mereka.

Penegasan itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain terhadap anggotanya yang mengamalkan gaya hidup berlebihan sehingga mendatangkan tanda tanya terutamanya dalam kalangan orang awam tentang sumber kekayaan diperolehi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya