PETALING JAYA: Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) yakin dapat menyelesaikan isu pengambilan pekerja yang dibangkitkan dalam laporan media Nepal baru-baru ini, kata Kenanga Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan berkata, isu ini adalah terpencil dan bukannya sistemik dan syarikat-syarikat Malaysia termasuk KLK telah mengetatkan proses pengambilan pekerja mereka serta menambah baik keadaan kerja dan kehidupan untuk pekerja asing.
Katanya, laporan daripada kumpulan berita yang berpangkalan di Nepal, Sajha Sabal Media mendakwa bahawa SOS Manpower Services (SOS), sebuah perkhidmatan pengambilan di Nepal telah terlibat dalam amalan pengambilan yang tidak beretika.
SOS terlibat dengan anak syarikat KLK KL-Kepong Rubber Products Sdn Bhd (KLKRP) untuk mengambil pekerja di Nepal melalui ejen Malaysia, Agen Perkerjaan UKHWAH Sdn. Bhd.
Serentak dengan penyiasatan dalaman kumpulan itu sendiri, KLK juga telah menghubungi pihak ketiga untuk memberikan penilaian bebas yang tidak berat sebelah terhadap dakwaan tersebut.
Tambahnya, ketibaan pekerja yang masuk dari Nepal telah dihentikan buat sementara waktu dan KLK bersedia untuk menamatkan sebarang urusan jika perlu.
Kenanga Investment Bank berkata, pihaknya menjangkakan kesan sementara penyiasatan dilakukan dapat dikawal walaupun dalam senario terburuk memandangkan KL-Kepong Rubber Products Sdn Bhd (KLKRP) adalah cabang pembuatan sarung tangan KLK.
Jelasnya, isu pengambilan warga Nepal yang dikatakan tidak melibatkan unit perladangan huluan kumpulan itu.
“Kumpulan itu pada masa ini hanya menggaji 160 pekerja Nepal daripada jumlah tenaga kerja lebih 60,000. Sementara itu, 140 lagi pekerja Nepal dijangka tiba yang kini dihentikan sementara menunggu siasatan dalaman dan penilaian bebas pihak ketiga.
“Sejak 2018 hingga 2019, apabila beberapa pengeluar sarung tangan Malaysia terlibat dalam kontroversi mengenai pengambilan pekerja asing dan keadaan kerja mereka, banyak syarikat korporat Malaysia termasuk KLK telah berusaha untuk menambah baik lagi pengambilan pekerja asing,serta keadaan kerja dan kehidupan mereka,” ujarnya.
Bank pelaburan mengekalkan unjuran keuntungan syarikat itu memberi penarafan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) RM23.-UTUSAN










