Guru KAFA jual kuih, nasi lemak kukuhkan kewangan

Guru KAFA jual kuih, nasi lemak kukuhkan kewangan

Status pendapatan guru-guru KAFA yang dikategori sebagai elaun menyulitkan mereka untuk membuat pinjaman bank.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pendapatan bersih yang diperoleh oleh guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) sekitar RM975 sebulan menyebabkan mereka terpaksa melakukan kerja sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang guru yang mahu dikenali sebagai Zie, 45, berkata, pendapatan selepas ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sangat sedikit menyebabkan dia menjalankan kerja-kerja sampingan seperti menjual kuih dan nasi lemak walaupun dilaksanakan secara kecil-kecilan.

“Suami juga guru KAFA, apabila dicampur pendapatan kami berdua ia masih belum cukup. Lagipun kami mempunyai lima anak yang masih bersekolah, jadi semua itu memerlukan perbelanjaan banyak.

“Ia belum dicampur dengan bayaran kereta dan perbelanjaan bulanan yang lain seperti bil elektrik serta telefon. Oleh itu, saya mengambil keputusan dengan suami untuk berniaga kecil-kecilan,” katanya.

Zie memberitahu, setiap hari dia akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk menyediakan nasi lemak dan kuih-muih sebelum dijual kepada pelanggan bermula pukul 7 pagi.

Katanya, bagi melancarkan tugas, dia akan menghantar semua anak ke sekolah manakala suami akan memulakan tugas berniaga.

“Walaupun pendapatan tidak banyak, alhamdulillah ia mampu meringankan beban perbelanjaan keluarga.

“Saya berharap benar agar kerajaan dapat mengkaji semula tangga gaji guru KAFA. Walaupun kontrak, sekurang-kurangnya naikkan sehingga gaji minimum pun sudah dikira baik,” katanya.

Sementara itu seorang lagi guru KAFA yang mahu dikenali sebagai Mie, 40, berkata, setiap bulan dia memerlukan RM3,000 untuk menampung kehidupan harian termasuk membayar sewa rumah, kereta, perbelanjaan dapur dan keluarga.

“Jumlah itu belum masuk bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Oleh itu, saya terpaksa melakukan kerja sampingan dengan mengambil upah memotong rumput pada hari minggu atau cuti umum serta cuti sekolah.

“Tanpa semua itu, agak sukar untuk saya menjalani kehidupan waktu ini. Bagaimanapun saya tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah.

“Besar harapan saya, agar kerajaan dapat menyediakan satu skim gaji yang lebih baik kepada guru Kafa walaupun bertaraf kontrak. Saya masuk ke sekolah tepat pukul 12 tengah hari dan pulang 6 petang. Kalau mereka (guru tetap) perlu membuat rancangan pelajaran harian (RPH), kami (guru Kafa) pun sama,” katanya.

Seorang lagi guru KAFA, Hidayat, 35, mengakui terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk menyara keluarga.

“Elaun guru KAFA tidak cukup, terpaksa kerja lain, itu pun kerja baik pulih rumah bersama rakan kontraktor. Kerja sampingan itu bukan ada setiap hari.

“Gaji kami dikira minimum disebabkan waktu bekerja kurang lapan jam sehari dan 36 jam sebulan. Sebab itu guru KAFA tidak layak terima gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Menurut Hidayat, dengan keadaan taraf ekonomi sekarang ini, elaun itu kecil dan tidak mencukupi untuk menyara keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN