ALOR GAJAH: Golongan belia diseru mengambil peluang dalam kestabilan Kerajaan Perpaduan untuk menjadi anak muda yang terjamin masa depan, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Beliau berkata, mereka disaran menceburi pelbagai bidang pendidikan disediakan kerajaan sama ada di peringkat profesional atau separa profesional serta bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Ujarnya, komuniti belia adalah amat penting sebagai aset negara dan segala usaha bagi meningkatkan potensi, bakat, pengukuhan jati diri, penyegaran pemikiran dan keterampilan kepemimpinan.
“Belia adalah penjana masa depan negara dan bakal menjadi pemimpin negara satu hari nanti. Justeru mereka perlu dididik dan diberikan pendidikan khas untuk menjadikan mereka sebagai pemimpin.
“Jadi golongan belia ini digalakkan menceburi mana-mana pertubuhan belia di negeri ini untuk mengelakkan daripada mereka melakukan perkara-perkara negatif dalam masyarakat yang sedang melanda sekarang.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Belia dan Sukan sentiasa memberi sokongan penuh kepada golongan belia untuk terus bergiat aktif dalam menjalankan program dan khidmat kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas selepas merasmikan Hari Belia Negara Peringkat Negeri (HBN23) di Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini, semalam. – UTUSAN










