Kalau tahu bajet tidak mampu, jangan jumpa pelakon ajak mesyuarat - Sarimah Ibrahim - Utusan Malaysia

Kalau tahu bajet tidak mampu, jangan jumpa pelakon ajak mesyuarat – Sarimah Ibrahim

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir penerbit dan pengarah yang didakwa tidak profesional dalam menguruskan tawaran kerja melibatkan pelakon tempatan.

Menurut Sarimah, ada pihak yang sanggup mengadakan pertemuan, menghantar mesej dan meminta pelakon ‘mengunci tarikh’ untuk sesebuah projek, namun akhirnya gagal menyediakan bajet yang sewajarnya sehingga menyebabkan pelakon terpaksa menolak tawaran lain.

“Kalau dah tahu bajet itu tak mampu, saya sarankan jangan jumpa kami pelakon untuk mesyuarat, hantar mesej atau ambil gambar swafoto bersama kami, kemudian minta kami ‘lock date’ sampai kami terpaksa tolak tawaran kerja lain atas janji tersebut.

“Itu sangat tidak profesional sebagai produser dan pengarah,” katanya di Thread.

Sarimah berkata, situasi sedemikian menjadi antara punca ramai pelakon tempatan semakin hilang motivasi untuk terus aktif dalam industri lakonan.

“Sebab inilah ramai pelakon kita serik nak berlakon dan tiada motivasi untuk teruskan. Ada yang dilabel sombong, padahal sebenarnya mereka stres dan kecewa,” katanya.

Dalam masa sama, Sarimah turut mengakui dirinya juga berdepan cabaran sebagai penerbit yang baru mencuba nasib dalam bidang penerbitan karya.

“Sebagai produser yang baru cuba naik, semua ini juga ditujukan kepada diri saya sendiri. Banyak kertas cadangan karya saya tergantung dan tidak mendapat dana.

“Antara alasan utama diberikan ialah pelakon yang dicadangkan tidak ramai pengikut media sosial atau tidak cukup popular,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mentaliti segelintir pihak yang terlalu bergantung kepada populariti dan jumlah pengikut media sosial dalam menentukan kejayaan sesebuah karya.

“Kenapa filem seperti The Devil Wears Prada, francais Mission: Impossible atau drama tempatan seperti Bila Cinta Menjadi Dosa dan Lelaki Itu boleh meletup dan viral?

“Pertama, tengok skrip, visi pengarah, bajet produksi, suntingan dan pemasaran. Kalau semua aspek ini kuat dan mantap, barulah karya itu boleh jadi hebat. Penonton bukan untuk dipersalahkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN