PETALING JAYA: Kajian menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menentukan isipadu pasir yang dibenarkan untuk dikorek di Sungai Pahang bagi mengelakkan berlakunya hakisan tebing dan menjejaskan kestabilan struktur alam itu.
Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, aktiviti pengorekan pasir di Sungai Pahang perlu dilaksanakan secara terkawal dengan hanya melibatkan pasir mendapan baharu yang dibawa arus dan terkumpul di dasar sungai.
Katanya, pasir asal di dasar sungai berfungsi sebagai tulang belakang, mengekalkan bentuk, aliran dan kestabilan sungai.
“Pasir dibawa arus dan mendap di dasar sungai boleh dikorek tetapi bukan pasir yang membentuk dasar sungai asal.
“Kajian perlu bagi menentukan isipadu pasir yang boleh dikorek untuk satu- satu tempat terlebih dahulu sebelum kerja-kerja boleh dilaksanakan
“Jika korekan dilakukan lebih daripada itu, mendapan akan menjadi lebih tinggi kerana berlaku hakisan tebing akibat korekan yang banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam akhbar ini melaporkan, isu mendapan Sungai Pahang sepanjang empat kilometer dari Kampung Sanding hingga Kampung Chedung Pesagi bukan baharu sebaliknya sudah lebih 30 berlarutan tanpa penyelesaian.
Penduduk mendakwa, keadaan semakin meruncing apabila sungai utama negeri itu bertukar menjadi ‘daratan berpasir’ setiap kali musim kemarau, sekali gus menjejaskan ekosistem dan sumber air masyarakat setempat.
Fenomena mendapan berlebihan turut menyebabkan aliran sungai jadi cetek dan berisiko melimpah ketika musim hujan
Sementara itu, Pensyarah Kanan Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nor Shahidah Mohd. Nazer berkata, jika berlaku mendapan berlebihan, kapasiti sungai berkurang, sekali gus merendahkan kompetensi sungai.
Jumlah beban sedimen yang boleh diangkut akan berkurang dan kemampuan sungai mengangkut bahan sedimen yang besar juga menurun.
“Sungai yang mencetek atau agradasi, menyebabkan tanah lodak dan lempung mengisi ruang-ruang kosong antara butiran sungai yang lebih besar (bongkah dan pasir) dan membentuk lapisan tanah halus yang bersifat separa telap dan padat.
“Jika musim kemarau, tanah ini akan merekah dan mengeras disebabkan sifat pengecutan mineral lempung sekaligus risiko banjir meningkat pada musim hujan,” katanya. – UTUSAN










