KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ayda Jebat, 31, mengakui adiknya, Fyna tidak dapat dihubungi sudah tiga bulan sejak kemelut rumah tangganya hangat diperkatakan sejak Mei.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat juga tidak menolak emosi adiknya mungkin terganggu dan memilih menghilang diri untuk bertenang.
“Fyna menghilangkan diri. Tidak jawab telefon dan mesej. Mungkin dia mahu bertenang.
“Saya tak terkejut sebab itu memang cara dia.
“Fyna ada hubungi saya dua bulan lalu namun saya sedang sibuk menjalani penggambaran. Lepas itu dia senyap,” katanya kepada Utusan Malaysia sebentar tadi.
Namun begitu, Ayda tahu adiknya itu dalam keadaan baik-baik sahaja walaupun tidak lagi saling berhubung.
“Bekas suaminya seorang legenda, dikenali. Dia tahu nak kawal keadaan.
“Fina tak biasa dengan media dan warganet. Dia mungkin sedang cuba lari atau cuba untuk faham situasi. Saya tak pasti.
“Saya tahu tahap kritikal dia. Kalau kritikal, dia akan cari saya. Jika tidak, dia okey,” tambahnya.
Mengakui keluarga turut terkesan dengan berita rumah tangganya, namun masing-masing reda dan merasakan apa yang terjadi adalah lebih baik untuk Fyna.
“Keluarga semestinya terkesan. Namun Fyna pilih jalan itu.
“Sebagai keluarga kami terima kemahuan dan pilihannya.
“Saya harap benda yang jadi ini terbaik untuknya dan orang sekeliling yang terkesan dengannya,” kata Ayda.
Terdahulu, Fyna Jebat mencuri tumpuan apabila dikatakan berkahwin senyap-senyap dengan bekas jurulatih bola sepak kebangsaan iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan pada Januari.
Ketika itu, Zainal masih berkahwin dengan isterinya, Datin Zalina Zaini pada 1980 dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Namun, anak perempuan Zainal, Zahira Aisyah memaklumkan kedua-dua pasangan itu sudah bercerai awal Mei tahun ini.










