Desak Zahid Hamidi letak jawatan bukan penyelesaian

Desak Zahid Hamidi letak jawatan bukan penyelesaian

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO bukan satu penyelesaian dan semua pihak perlu bertanggungjawab di atas prestasi buruk parti itu dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd. Puad Zarkashi berkata, semua pihak perlu berhenti menuding jari sebaliknya perlu bersama bertanggungjawab memikul beban yang dihadapi UMNO.

Katanya, UMNO perlu mendapat semula sokongan orang Melayu manakala menteri-menteri daripada parti itu mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. 

“Sebab itu UMNO mesti kekal dalam kerajaan perpaduan. PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama. Ahmad Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah.

“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab,” katanya dalam Facebook beliau.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid meletak jawatan serta merta susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN di enam negeri Sabtu lalu.

Beliau berkata, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh serta perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid.

Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, imej Ahmad Zahid tercalar kerana kes mahkamah dihadapinya yang bermula ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018.

Beliau justeru meminta ahli UMNO perlu bersabar kerana kebenaran akan terjelma dalam mahkamah yang adil. 

“Kita bersama mendoakan beliau. Imej Zahid dicalar kerana kes mahkamah yang dimula pada era Mahathir 2018/2019. Syukur 40 kes sudah bebas dan lepas kerana Mahkamah dapati tiga saksi utama tidak boleh dipercayai. Ahli UMNO perlu bersabar kerana kebenaran akan terjelma dalam mahkamah yang adil. Kita bersama mendoakan beliau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, sekarang bukan masa untuk menuding jari dan semua pihak membina kekuatan untuk terus meraih sokongan rakyat.

“Kita harus terima keputusan rakyat, sekarang bukan masa untuk menuding jari. Kita ada baki lebih kurang empat tahun sebelum PRU16.

“Kita perlu bina kembali kekuatan kita dan perlu berkhidmat yang terbaik buat rakyat. Kita akan kembali dengan lebih kukuh dengan perpaduan sesama kita,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN