PETALING JAYA: Keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat ini berhubung ceramahnya yang dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan di Bakri, Muar dua hari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kata beliau, Abdul Hadi telah pun dihubungi untuk mendapatkan masa beliau yang sesuai untuk tampil memberi keterangan.
“Dalam kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai ketika ini, masyarakat seharusnya tidak membuat spekulasi dan memburukan keadaan.
“Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sering ingatkan kepada semua agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) semasa tempoh berkempen,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang itu.
“Polis Kontinjen Johor mengesahkan telah menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas Pas kawasan Bakri.
“Atas tindakannya mengeluarkan kenyataan tersebut, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
“Abdul Hadi boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semasa berucap di hadapan kira-kira 500 penyokong parti itu Sabtu lalu, Presiden Pas tersebut bukan sahaja membidas bekas pemimpin Pas yang keluar parti membentuk Parti Amanah Negara (Amanah), malah mempersoalkan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya.
Beliau dilaporkan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.
Katanya, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.
“Kes jenayah dalam Islam, yang berhak mengampun adalah mangsa jenayah. Kalau dia mati, (melibatkan) kes bunuh, adik beradik dia, ibu bapa dia atau wali dia yang berhak mengampun, bukan lembaga pengampunan.
“Lembaga pengampunan ini ialah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Peguam Negara,” katanya ketika dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas Pas Kawasan Bakri. – UTUSAN










