BNM hanya tahu AS$700j masuk syarikat Jho Low selepas enam

BNM hanya tahu AS$700j masuk syarikat Jho Low selepas enam tahun -Zeti

ZETI Akhtar Aziz tiba di mahkamah Kuala Lumpur, hari ini, -UTUSAN/M.FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengesahkan bank pusat itu hanya mengetahui wang pelaburan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sebanyak AS$700 juta dilencongkan ke satu syarikat lain, Good Star Limited yang dikatakan milik Jho Low, enam tahun selepas pemindahan itu berlaku.

Zeti bagaimanapun menafikan bahawa `kelewatan’ itu adalah sesuatu yang pelik kerana berdasarkan pengetahuannya, usaha untuk menjejak dan mendedahkan sesuatu penyelewengan oleh mana-mana pihak berkuasa kewangan dunia akan mengambil masa berbulan atau bertahun.

“Apabila pasukan siasatan BNM menjalankan pemeriksaan sekitar Mac 2015; berdasarkan maklumat uang diperoleh daripada pihak kewangan luar negara, mereka mendapati dana tersebut dimasukkan kepada Good Star.

“Inkuiri seterusnya adalah untuk mengenal pasti pemilik Good Star yang kemudian diketahui ia dimiliki Jho Low,”kata Zeti.

Wanita itu berkata demikian ketika ditanya oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai masa lama yang diambil oleh BNM untuk mengesan penyelewengan dana tersebut.

Pada prosiding terdahulu, Zeti memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa siasatan terhadap 1MDB bermula apabila mendapat maklumat daripada risikan unit kewangan luar negara pada 2015 yang memaklumkan mengenai kemungkinan penyelewengan dana syarikat terbabit.

BNM kemudian memulakan siasatannya sendiri selepas pegawai atasan dan Najib yang merupakan Menteri Kewangan dan Penasihat 1MDB gagal memberikan jawapan memuaskan.

Menjawab pertanyaan Muhammad Shafee sama ada siasatan BNM ada menemui sebarang petunjuk atau arahan oleh Najib untuk melakukan pemindahan itu, Zeti menyatakan:”Tiada.”

“Secara bertulis, tiada sebarang arahan bertulis. Secara lisan, saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya pada ketika itu dan tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir,” ujar Zeti.

Wang AS$700 juta merupakan sebahagian wang AS$1 bilion yang sepatutnya dilaburkan dalam projek usahasama 1MDB dan Petrosaudi International (PSI).

Pada April 2022, bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail memberitahu, tiada seorang pun daripada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB mengetahui wang berjumlah AS$700 juta dipindahkan kepada syarikat Good Star Limited pada 2009.

Ismee ketika merujuk kepada empat carta aliran wang 1MDB yang menunjukkan bahawa jejak kewangan dana itu yang berakhir dalam dua akaun peribadi Najib turut menunjukkan sejumlah AS$700 juta dana 1MDB dipindahkan kepada Good Star.

Sementara itu, pada 16 Jun 2022, saksi pendakwaan ke-28, Mohamed Fairudz Mohd. Hanif iaitu pakar undang-undang bagi polisi perniagaan di Unit Polisi Perniagaan, Labuan Financial Services Authority (LFSA) memberitahu Good Star Limited dan PetroSaudi International Limited (PSI) menerima dana sebanyak AS$1.83 bilion daripada 1MDB di antara 2009 dan 2011.

Good Star yang dimiliki oleh Jho Low dibubarkan pada 2 Mei 2014 manakala PSI yang dimiliki seorang ahli perniagaan Arab, Tarek Obaid dibubarkan pada 8 April 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN