KUALA LUMPUR: Kemahiran berbahasa Inggeris yang hebat dimiliki pelajar mild autism menjadi harapan seorang ibu, melihat anaknya suatu hari nanti mampu menempuh cabaran dan berjaya menggapai impian untuk menjadi seorang pendidik cemerlang.
Bagi Zanariah Salleh, 54, perjalanan anak bongsunya, Muhammad Akif Umar Amir Mahamud, 18, calon SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas bukanlah mudah sejak disahkan menghidap mild autism pada usia dua tahun.
Menurut Zanariah, suri rumah sepenuh masa, Akif adalah permata istimewa kerana dia anak yang pintar.
“Kemahiran berbahasa Inggeris Akif amat menonjol, malah saya sebagai ibu memasang impian agar dia suatu hari nanti bergelar pendidik dalam bidang Teaching of English as a Second Language (TESL) kerana berharap kelebihan Akif dalam bidang bahasa Inggeris itu tidak tamat sehingga SPM sahaja.
“Dia belajar secara visual dan hafalan. Dari kecil lagi saya rakamkan semua pembelajaran supaya dia boleh ulang semula dan sejak sekolah rendah Akif sering cemerlang dalam peperiksaan Bahasa Inggeris,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas cabaran membesarkan Akif, Zanariah berkata, Akif, calon orang kurang upaya (OKU) Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) pernah tidak bertutur langsung dan tidak ada kontak mata seperti kanak-kanak lain.
Walaupun begitu, tambah Zanariah, dia sering menganggap kekurangan yang digelar sesetengah masyarakat sebagai kelebihan buat Akif kerana pernah mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan percubaan SPM menunjukkan bahawa autisme tidak menghalang prestasi akademiknya.
“Akif yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu juga pernah menjuarai pertandingan syarahan peringkat Kuala Lumpur,” katanya.
Zanariah mengakui amat terharu apabila melihat usaha anaknya membuahkan hasil dan berharap cadangan penubuhan Tabika Kemas Khas berfokuskan autisme seperti diumumkan kerajaan dapat direalisasikan segera.
“Autisme ada banyak tahap. Walaupun nampak seperti biasa, mereka tetap perlukan sokongan. Alhamdulillah perkembangan percakapan Akif semakin meningkat selepas masuk PPKI,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang memperkenalkan Tabika Kemas Khas untuk kanak-kanak autisme mulai tahun depan bagi memastikan golongan itu mendapat pendidikan awal yang sesuai dan inklusif.- UTUSAN











