Bekas pemimpin campuri urusan UMNO gila talak

Bekas pemimpin campuri urusan UMNO gila talak

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO menyifatkan tindakan bekas pemimpin yang sering kali mencampuri urusan parti itu termasuk mengeluarkan kenyataan menyentuh perkara dalaman parti sebagai gila talak.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, agak pelik bagi pemimpin terbabit membuat kenyataan tidak munasabah berkaitan parti lain semata-mata untuk mempengaruhi ahlinya menyokong mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.

“Mungkinlah dia nak masuk balik UMNO, dia cakap macam itu. Bagi saya yang pelik dan ajaib, orang bukan ahli UMNO yang sibuk tentang UMNO, sepatutnya ahli UMNO yang sibuk hal UMNO.

“Kami ahli UMNO sibuk hal parti sahaja walaupun macam-macam tuduhan tetapi bukan hal parti dia, mungkin dia rindu kat UMNO, gila talak ka saya pun tak tahu. Biarlah, sesuatu parti politik itu ada kebebasan, cara tersendiri dan ada undang undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Jabatan Insolvensi Kedah, di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang meminta ahli UMNO menyokong PN demi menyelamatkan UMNO.

Malah, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa turut menyifatkan PRN ini sebagai peluang terakhir ahli dan penyokong UMNO menyelamatkan parti itu melalui referendum rakyat.

Menyentuh referendum terbabit, kata Azalina, keputusan PRN di enam negeri termasuk Kedah tidak akan mempengaruhi kestabilan pentadbiran Kerajaan Pusat seperti dimomokkan oleh pemimpin PN.

“Dahulu tak ada Akta Lompat Parti, macam-macam boleh cakap dengan akta ini kalau lompat pun dia (wakil rakyat) kena selesai di mahkamah kerana kerusi itu kerusi politik bukan peribadi.

“Kalau pun dia bawa lari kerusi itu dari A ke B, kena ada pilihan raya kecil (PRK). Itu ditetapkan dalam Perlembagaan, pilihan raya ini bukan sesuatu yang murah dan mudah. PRN pada masa ini pun rakyat sudah penat, kita baru habis PRU,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini rakyat mengharapkan kerajaan yang stabil termasuk di peringkat negeri demi pembangunan di negeri masing-masing daripada keghairahan untuk menukar kerajaan sekali lagi.

“Kesimpulannya, kalau nak buat PRK rakyat marah kerana rakyat mahu supaya kerajaan negeri boleh mulakan kerja sebab Kerajaan Pusat sudah mulakan kerja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×