LUMUT: “Sejak ayah meninggal dunia 13 tahun lalu, arwah yang jadi pengganti terutama kami tiga beradik yang masih bersekolah ketika itu.
“Jadi, apabila dapat tahu nahas ini, kami terkejut kerana sekelip mata kehilangan dia,” kata Nor Syahirah Omar, 29.
Nor Syahirah adalah adik bongsu kepada Shaharul Amir, 49, salah seorang mangsa terkorban dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, petang semalam.
Menurut Nor Syahirah , arwah yang juga anak sulung daripada enam beradik, sangat mementingkan hubungan kekeluargaan terutama selepas kematian ayah mereka pada 2010 dengan memastikan mereka sekeluarga dapat berkumpul sekurang-kurangnya setahun sekali.
Katanya, sehari sebelum kejadian arwah yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Komander, meluahkan rasa teruja dalam kumpulan WhatsApp keluarga mereka kerana akan menaiki pesawat mewah itu dari Kuantan, Pahang, ke Langkawi, Kedah.
Jelasnya, keterujaan itu diluahkan kerana selama ini arwah yang juga bekas juruterbang helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, memandu helikopter untuk majikannya tetapi kali ini menjadi penumpang pula.
“Arwah banyak berkongsi gambar dan video dalam WhatsApp keluarga ketika berada dalam pesawat, sebelum dan ketika berlepas dari Kuantan, kelmarin.
“Beliau berkata kali ini naik pesawat ‘bos’ yang belanja, jadi kami sekeluarga pun berbalas mesej ‘mengusik’ arwah,” katanya ketika ditemui di rumah arwah di Taman Desa Manjung Raya, Seri Manjung di sini hari ini.
Menurutnya, selepas bersara daripada TLDM kira-kira empat tahun lalu, arwah bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah akademi penerbangan di Johor, sebelum bekerja dengan sebuah syarikat di Subang, Selangor.
Dia bagaimanapun tidak mengetahui jawatan sebenar abangnya itu tetapi mereka dimaklumkan beliau selalu menjadi juruterbang helikopter untuk membawa Datuk Seri Johari Harun, dalam tugasan rasminya.
Bercerita lanjut, Nor Syahirah memberitahu mereka mendapat tahu arwah terlibat dalam nahas itu menerusi media sosial kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Pada masa sama, ibu mereka Che Ana Abdullah, 67, yang tinggal di Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang, Kedah, melihat kejadian itu di televisyen dan terus menghubungi arwah dan tidak berjawab.
Sebelum itu, arwah menghubungi ibunya sebelum pesawat berlepas dari Kuantan, kira-kira pukul 7 pagi kelmarin dan sebelum berlepas dari Langkawi kira-kira pukul 2 petang semalam.
“Ibu ada minta kami berkongsi gambar dan video nahas itu kepadanya tetapi kami tidak sampai hati,” ujarnya sambil menyatakan isteri arwah, ibunya dan tiga adik beradiknya yang lain sudah berada di ibu negara sejak malam tadi.
Dia berkata, arwah meninggalkan isteri, Suhaila Akasah, 47, dan empat anak berusia antara 19 hingga 12 tahun. – UTUSAN










