Tarikh nikah sudah dekat, Syed Saddiq fokus jadi suami dan bapa yang lebih baik - Utusan Malaysia

Tarikh nikah sudah dekat, Syed Saddiq fokus jadi suami dan bapa yang lebih baik

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan bahawa hari bahagianya bersama penyanyi dan pelakon Bella Astillah semakin hampir apabila mengakui kini lebih memberi tumpuan untuk mempersiapkan diri sebagai seorang suami dan juga bapa yang lebih baik.

Menurut Syed Saddiq, perubahan itu turut menyaksikan beliau mengambil langkah untuk sedikit berundur daripada politik nasional, khususnya dalam kapasiti sebagai presiden sebuah parti politik, demi memberi keutamaan kepada kehidupan berkeluarga yang bakal dibina.

“Untuk fokus, insya-Allah, saya mahu menjadi seorang suami dan juga bapa yang lebih baik. Betul, tanggungjawab seorang suami, khususnya seorang bapa, sangat berbeza.

“Sebab itu saya sedikit sebanyak mengambil langkah untuk kembali semula dan berundur sedikit daripada politik, khususnya dalam politik nasional sebagai presiden sebuah parti politik.

“Saya mahu memberi fokus yang lebih jelas kepada kehidupan berkeluarga kerana saya sedar peranan sebagai suami dan bapa bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” katanya dalam sebuah platform audio siar.

Ketika diajukan mengenai persiapan ke arah perkahwinan termasuk sama ada sudah menghadiri kursus pra-perkahwinan, beliau bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu terbuka.

“Kalau saya jawab perkara ini, takut nanti tergantung pula. Dalam tempoh terdekat, tarikhnya… biarlah dalam tempoh terdekat.

“Sebab bila sudah menghadiri kursus, orang pun akan tahu. Yang penting, insya-Allah, tarikh hari menikah itu memang tidak jauh. Itu sajalah saya boleh katakan buat masa ini,” ujarnya sambil tersenyum.

Mengulas sama ada golongan muda kecewa apabila beliau dilihat tidak lagi begitu lantang dalam isu politik nasional, Syed Saddiq menjelaskan bahawa komitmennya sebagai wakil rakyat masih kekal seperti biasa.

“Bercakap di Parlimen, saya rasa masih banyak kerana kehadiran saya masih 100 peratus. Dari sudut kawasan juga masih sama, saya tetap memberi komitmen sepenuhnya.

“Mungkin dari sudut nasional dan sebagai presiden parti politik, untuk mengulas semua isu itu memang sudah berkurangan. Tetapi saya perlu bijak untuk menyeimbangkan semuanya.

“Suatu hari nanti, insya-Allah, kalau ditakdirkan kembali semula ke posisi yang lebih besar, saya perlu tahu cara mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang bapa, suami dan juga menteri.

“Kita tidak boleh culas dalam salah satu daripadanya. Di situlah saya perlu belajar dengan cepat. Tetapi itu bukan setakat tanggungjawab saya seorang, sebab itulah pentingnya keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN