KUALA LUMPUR: Perdana Menteri meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi fokusnya terhadap kes mahkamah yang dihadapinya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan masih memperoleh kemenangan tiga negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.
Kata beliau, kerajaan juga memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk terus kekal berada di Putrajaya.
“Kita kekal kemenangan tiga (negeri), kita masih mendapat dua pertiga majoriti Ahli Parlimen. Dia (Muhyiddin) buat pengiraan apa?
“Saya nasihatkan dia tumpu kes mahkamah,” katanya ketika ditemui media, di sini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Madani Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi.
Turut hadir sama adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri mendesak Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan serta-merta susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN di enam negeri hari ini.
Muhyiddin berkata, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan bahawa terdapat penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN










