Aminuddin terus khidmat sebagai MB Negeri Sembilan

Aminuddin terus khidmat sebagai MB Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun semalam mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini.

Aminuddin, 56, mengangkat sumpah memegang jawatan Menteri Besar di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir kira-kira pukul 4.15 petang dan seterusnya menandatangani akuan sumpah.

Tuanku Muhriz kemudian menyerahkan watikah pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Aminuddin.

Turut menyaksikan istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama kedua anakanda baginda, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al’ Abidin.

Yang turut hadir, isteri Aminuddin, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Terdahulu ketika bertitah, Tuanku Muhriz menaruh kepercayaan baginda kepada Aminuddin untuk terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur.

“Beta juga amat yakin, bahawa amanah yang diberikan akan dilaksanakan dengan penuh integriti dan seluruh rakyat Beta dapat menikmati dan merasai hasil pembangunan negeri yang bertuah ini. Beta berpesan agar kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada penggal yang lalu, diteruskan dan diperbaiki sekiranya ada terdapat sebarang kelemahan.

“Beta ingin terus melihat kerajaan ini ditadbir dengan asas-asas ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh. Di samping itu, Beta mahu semua urusan pentadbiran di jabatan-jabatan serta agensi kerajaan yang ada di negeri ini bebas daripada sebarang unsur penyelewengan serta salah guna kuasa, dan seterusnya kerajaan Negeri Sembilan menjadi contoh kerajaan yang bersih dan adil,” titah baginda lagi.

Aminuddin dalam sembah ucapan ikrar taat setia pula berikrar akan melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar dengan penuh iltizam, integriti dan keikhlasan.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan demi memastikan prestasi Negeri Sembilan digarap bersama lima tekad yang telah digariskan selari dengan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh
Perdana Menteri di peringkat Persekutuan,” katanya lagi.

Aminuddin berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelmarin dengan majoriti sebanyak 2,662 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan buat penggal kedua selepas PH-BN memenangi sebanyak 31 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×