PETALING JAYA: Pelakon, Amelia Handerson menafikan dakwaan sedang sibuk membuat persiapan pernikahan dengan aktor, Aedy Ashraf seperti yang tular di laman sosial baru-baru ini.
Terkejut namun dalam pada masa yang sama terhibur, jelas Amelia, keterbukaan mereka di media sosial mungkin antara punca kewujudan khabar angin yang disifatkan lucu itu.
“Jujur ya, dakwaan sedang dalam persiapan perkahwinan ini sangat menarik dan menghiburkan. Saya rasa kelakar. Bagi saya, netizen suka reka cerita, saya terhibur sungguh.
“Sebelum ini saya pernah dikatakan bercinta dengan pelakon lelaki lain. Tiba-tiab saya dikecam kerana menghancurkan hati pelakon itu gara-gara gosip bercinta dengan Aedy.
“Saya rasa, netizen lebih banyak dapat cerita lebih dari empunya badan yang tahu. Bila baca komen di TikTok, saya sendiri terkejut. Saya sendiri pun tak tahu bila hendak kahwin,” jawabnya.
Amelia berkata demikian usai sidang media dan pratonton drama bersiri, One Million Dollar Voice di sini, malam tadi.
Terdahulu, video dimuat naik Amelia di TikTok mencuri perhatian ramai apabila pelakon Pengantin Satu Malam itu dikatakan memanggil Aedy dengan gelaran ‘sayang’.
Menerusi video berdurasi 29 saat itu, Amelia dan Aedy turut mengenakan pakaian sedondon warna hitam dan kelihatan mesra berpegangan tangan sambil Aedy merangkul pinggang Amelia.
Diajukan status terkini hubungannya dengan Aedy, Amelia lebih senang bermain tarik tali dan membuka ruang kepada warganet untuk masing-masing menilai sendiri hubungan mereka.
“Saya fikir anda semua boleh guna kreativiti masing-masing. Atau kalau jumpa Aedy dalam mana-mana acara, bolehlah serang (tanya) dia. Saya tidak boleh jawab soalan itu.
“Sebenarnya, situasi ini sangat peribadi buat kami. Kami amat bahagia dan sangat rapat. Aedy memahami saya kerana kami sama-sama bermula dalam industri ketika kecil. Kami juga selesa untuk berkongsi apa sahaja.
“Cuma buat masa ini, tiada sebarang perkara menarik berkaitan hubungan yang boleh dikongsi. Selagi tidak ada apa-apa berita menarik yang hendak diumumkan, saya tidak tahu hendak jawab apa.
“Buat masa sekarang, saya fokus kerjaya kerana sedang terlibat dalam dua penggambaran serentak. Tak ada masa hendak fikir pasal perkara lain, kerena apa yang penting kerja selesai,” kongsinya.