PETALING JAYA: Warga Selangor perlu mengambil iktibar kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) yang bukan hanya tidak mampu mentadbir kerajaan negeri, tetapi gagal menyaingi rekod cemerlang negeri ditadbir Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat negeri itu supaya tidak mensia-siakan undi mereka pada 12 Ogos ini dan menggunakan pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai medan menyelamatkan negeri daripada kerosakan daripada golongan tidak tahu mentadbir.
“Kita juga masih ingat ada seorang bekas Perdana Menteri yang pernah membelanjakan sebanyak lebih RM30 juta hanya untuk mengubah suai kediaman rasmi di saat rakyat bergelut dengan serangan serta ancaman Covid-19.
“Ini bukan prihatin, jauh sekali menyumbang kepada peningkatan darjat hidup rakyat. Gelombang Perpaduan mesti menang dan terus menyemarak!,” katanya menerusi catatan Facebook beliau hari ini.
Anwar memberi peringatan itu sewaktu menyampaikan ceramah umum Perpaduan di Bukit Antarabangsa untuk membantu kempen calon gabungan perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).
Dalam pada itu, Perdana Menteri membangkitkan soal menolak pengkhianat terutama yang pernah mengkhianati mandat diberikan rakyat di hadapan 2,000 pendukung perpaduan di Padang Taman Permata, Hulu Kelang.
Beliau menggesa pengundi Hulu Kelang untuk mengajar pengkhianat itu dengan tidak memilih calon PN, sebaliknya mengundi wakil PH pada Sabtu ini.
“Masakan kita lupa bahawa segelintir watak yang dahulunya diundi dan diangkat oleh pendukung setia kini mahu kembali menagih undi dan sokongan sehingga tidak ada keberanian mempertahan kubu. Ada beda (beza) antara membina kubu dan lari meninggalkan kubu.
“Saya punyai keyakinan yang kuat bahawa rakyat serta pengundi di Hulu Kelang sensitif akan hal ini tatkala isu mengkhianati mandat rakyat ini bukan hal yang dianggap kecil, malah melibatkan integriti dan soal maruah,” katanya. – UTUSAN