BANGKOK: Thailand sedang membuat persiapan untuk membawa keluar rakyatnya dari Asia Barat menggunakan pesawat tentera atau penerbangan sewa khas susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang mencetus pengeboman di beberapa negara Teluk.
Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul berkata, kerajaan sedang melaksanakan penyelarasan dengan Tentera Udara Diraja Thailand untuk menyediakan pesawat bagi memindahkan rakyat negara itu, dengan keutamaan diberikan kepada mereka di Iran.
Anutin memberitahu pemberita di Bangkok, penerbangan sewa khas turut dipertimbangkan untuk melaksanakan usaha tersebut.
“Kami perlu menyemak penutupan ruang udara, sama ada perlu memindahkan mereka ke negara ketiga terlebih dahulu,” katanya.
Anutin berkata, terdapat puluhan ribu pekerja Thailand di rantau itu, memetik data kementerian buruh.
Hampir 59,000 rakyat Thailand berdaftar dengan pejabat buruh Thailand di Israel dan lebih 11,000 lagi berdaftar dengan pejabat buruh Thailand di Abu Dhabi yang meliputi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Oman dan Iran, menurut kementerian itu.
“Kerajaan Thailand akan melakukan segala-galanya untuk membawa pulang rakyat Thailand dengan selamat. Jika mereka mahu pulang, kami akan membawa mereka kembali,” kata Anutin.
AS dan Israel mula melancarkan gelombang serangan terhadap Iran pada Sabtu, mencetuskan tindak balas pantas oleh republik Islam itu.
Presiden AS, Donald Trump berikrar untuk terus menyerang Iran sehingga kerajaan negara itu tumbang.
Televisyen negara Iran mengesahkan kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Ahad, selepas Trump menyatakan beliau terbunuh.
Letupan baharu turut kedengaran di Doha, Dubai dan Manama pada Ahad.
Di tengah-tengah pengeboman tersebut, Iran, Iraq, Kuwait, Syria, UAE dan Israel menutup ruang udara masing-masing kepada trafik awam, sekurang-kurangnya sebahagiannya, manakala beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan melibatkan destinasi di rantau itu.-AFP










