GAZA: Israel bertindak mengumumkan penutupan semua lintasan di wilayah Palestin, berkuat kuasa Ahad sehingga diberitahu kelak, susulan serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.
Keputusan itu diumumkan dalam satu kenyataan oleh Penyelaras Aktiviti Israel di Wilayah Palestin (COGAT).
“Susulan penilaian situasi dan berikutan operasi yang dilancarkan oleh tentera Israel dan AS terhadap Iran, kami memutuskan untuk menutup semua lintasan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, termasuk lintasan Rafah mulai esok sehingga diberitahu kelak,” menurut kenyataan itu.
Ia menambah keputusan tersebut terpakai kepada semua rakyat Palestin, kecuali mereka yang memiliki permit pekerja penting, yang akan dibenarkan melalui lintasan tertentu yang tidak diperincikan.
Kenyataan itu mendakwa penutupan lintasan ke Gaza tidak akan menjejaskan keadaan kemanusiaan di wilayah berkenaan.
Terdahulu, beberapa letupan kuat kedengaran dan serpihan peluru berpandu dilaporkan jatuh di beberapa kawasan di Tebing Barat yang diduduki sejurus siren amaran berbunyi di beberapa penempatan Israel, menurut wartawan Anadolu.
Jurucakap polis Palestin, Luay Arziqat, berkata, pihak berkuasa menerima laporan mengenai serpihan peluru berpandu yang jatuh di empat lokasi berasingan di Tebing Barat, namun tiada kecederaan atau kerosakan harta benda direkodkan.
Pada pagi Sabtu, AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran, dengan mendakwa ia bertujuan menyingkirkan ancaman yang dikaitkan dengan rejim Iran.
Sebagai tindak balas, Iran menyasarkan Israel dan pangkalan AS di rantau itu dengan peluru berpandu serta dron.
Israel turut mengisytiharkan keadaan darurat khas dan serta-merta di seluruh negara.
Iran pula berikrar memberikan tindak balas keras terhadap pencerobohan tersebut dan melancarkan serangan peluru berpandu serta dron ke arah Israel dan pangkalan AS di rantau berkenaan.-AGENSI











