BAGHDAD: Ratusan rakyat Iraq cuba menyerbu kubu Zon Hijau Baghdad yang menempatakan kedutaan Amerika Syarikat (AS), susulan kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan pagi semalam.
“Cubaan mereka setakat ini berjaya digagalkan, tetapi mereka terus mencuba,” kata satu sumber keselamatan kepada AFP.
Wartawan AFP melaporkan penunjuk perasaan, sebahagiannya membawa bendera kumpulan bersenjata pro-Iran, membaling batu ke arah pasukan keselamatan yang membalas dengan gas pemedih mata.
Media tempatan turut melaporkan bantahan di beberapa wilayah lain di selatan Iraq.
Beberapa kumpulan bersenjata Iraq yang disokong Iran pada Sabtu menyatakan mereka tidak akan kekal neutral dan akan mempertahankan republik Islam itu.
Kumpulan berpengaruh Kataeb Hezbollah berkata, ia akan menyerang pangkalan AS selepas dua pejuangnya terbunuh dalam serangan udara di selatan Iraq.
Awal pagi Ahad, beberapa letupan kuat kedengaran berhampiran Lapangan Terbang Erbil yang menempatkan tentera gabungan pimpinan AS di wilayah autonomi Kurdistan Iraq.
Beliau turut melaporkan melihat kepulan asap hitam tebal dari kawasan lapangan terbang itu.
Tidak lama kemudian, satu kumpulan kecil pro-Iran mendakwa melancarkan serangan dron ke atas tentera AS di Erbil.
Pada Sabtu, pasukan gabungan pimpinan AS menembak jatuh beberapa peluru berpandu dan dron membawa muatan bahan letupan di ruang udara Erbil, menurut pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, lapan orang dilaporkan terbunuh selepas puluhan lelaki memasuki pejabat Konsulat AS di Karachi, Pakistan pada Ahad ketika ketegangan memuncak di Asia Barat selepas kematian Khamenei diumumkan.
Rakaman menunjukkan polis bertempur dengan penunjuk perasaan di jalan raya di luar konsulat tersebut.
Satu lagi video menunjukkan puluhan lelaki berada di dalam kawasan pagar konsulat, cuba memecahkan cermin tingkap dan pintu untuk memasuki bangunan utama.
Ketika penunjuk perasaan membaling batu, polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.-AFP










