Amalan meminta komisen perlu dihentikan - PM

Amalan meminta komisen perlu dihentikan – PM

ANWAR Ibrahim (dua, kiri) bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) selepas merasmikan majlis pecah tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan komited menghentikan amalan meminta komisen yang dilihat sudah menjadi budaya kerana perkara tersebut dilihat akan menjejaskan negara serta rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan meminta komisen daripada pemaju-pemaju sudah sebati dan memerlukan tindakan untuk menghentikan ia sebelum melarat.

Kata beliau, amalan tersebut akan menyebabkan negara hancur lalu menjejaskan rakyat hanya akibat daripada amalan yang menguntungkan satu pihak sahaja.

“Kalau jumpa dengan pemaju-pemaju, semuanya kata amalan (meminta komisen) memang begitu (untuk) kelulusan, walaupun apabila saya sebut ini dia kata dendam, fitnah dan sebagainya. Ramai (juga) rakyat yang mendukung cara begitu.

“Jadi saya bagitahu di sini sebab amalan itu (sudah) menjadi sebati. Kalau kita bagi RM10 ke RM15 juta kepada orang politik dan parti dia. Maknanya untuk rakyat di bawah dia potong RM15 juta. Kalau tidak ada tekad yang jelas di kalangan pimpinan untuk bersihkan, negara kita akan rosak.

“Saya faham ia mengambil masa untuk memberi kefahaman kepada rakyat, ini tidak nampak, bercakap soal bersih, soal menyantuni rakyat tetapi sakau dan saya sebut, hampir tanpa terkecuali jumpa pemaju (mengatakan) itu amalannya. Saya kata ini harus dihentikan.

“Sebab itu kalau lihat kelulusan sekarang, boleh tambah kawasan hijau, rumah rakyat, gerai. Pasal apa hal ini tidak boleh dilakukan? Kerana keuntungan itu dipindahkan kepada orang-orang tertentu,” katanya ketika ditemui media di sini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Madani Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi.

Turut hadir sama adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri yang berada di bawah penguasaan pembangkang akan bergantung kepada sikap mereka.

“Kalau mereka mahu kerjasama, saya akan ikut kaedah bukan sahaja dari segi kenyataan (tetapi) juga tindakan. Saya nak pastikan semangat tatakelola itu betul.

“Mahu wang untuk orang miskin, bagi pada orang miskin jangan diagihkan ke lain. Saya akan tegas bab ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar menggesa pihak-pihak tertentu yang menyalahkan orang Melayu dan fahaman mereka ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Jelasnya, beliau tidak setuju dengan tindakan tersebut apabila cuba menyalah dan menghukum pengundi kerana untuk menjelaskan ia mengambil waktu.

“Ia mengambil masa, saya tidak setuju (dengan) sesetengah pihak menyalahkan orang Melayu, kefahaman mereka, bahawa mereka itu mudah terpengaruh dengan hasutan kaum dan agama. Menakut-nakutkan (orang) Cina dan DAP, saya tidak setuju.

“Ini maknanya, satu cabaran untuk kita menyatuni dan menjelaskan kepada mereka. Madani adalah satu konsep lebih menyeluruh, dia tak nampak ratu-ratus juta, bilion-bilion yang lain.

“Dia tidak tahu yang dia sokong itu kadang-kadang orang-orang yang kaya ratusan juta ribu, saya tidak mahu salahkan dia tetapi tanggungjawab jentera, pimpinan kita mesti bekerja lebih keras untuk memaknai dan menterjemahkan dasar ini,” jelasnya.

Untuk rekod, Utusan Malaysia melaporkan, keputusan enam PRN baru-baru ini mendedahkan wujudnya polarisasi kaum yang ketara sekali gus menunjukkan negara berdepan budaya politik tidak sihat.

Melalui PRN tersebut, masyarakat Melayu dan luar bandar lebih cenderung memilih Perikatan Nasional (PN) manakala bukan Melayu dan bandar pula memberi sokongan kepada PH-Barisan Nasional (BN).

Pengundi bukan Melayu pula kekal memilih DAP di bawah PH-BN sekali gus memperlihatkan penguasaan parti itu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala pengundi Melayu beralih kepada Pas yang ultras Melayu dan Islam.

Hal ini dibimbangi mengundang perpecahan kaum yang boleh meletakkan negara dalam keadaan tidak harmoni. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN