ALOR SETAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) memberi perhatian khusus terhadap pelajar dari beberapa negara seperti Afghanistan, Palestin, Yemen dan Myanmar dengan harapan mereka kembali berbakti di tanah air masing-masing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor AIU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Aziz Tajuddin berkata, kebanyakan negara itu berdepan isu tertentu yang menjadikan AIU lebih bersemangat untuk memastikan pelajar diberi pendidikan sempurna bagi membantu membangunkan komuniti di sana.
Katanya, tindakan itu selari dengan matlamat AIU untuk melahirkan individu yang tidak hanya kaya dengan harta, sebaliknya kaya dengan nilai-nilai murni bagi membantu lebih ramai individu sekeliling mereka di seluruh dunia.
“Kami tawarkan jurusan yang bersifat ‘social business’ di mana pelajar disasarkan untuk menjadi pencipta kerjaya dan bukannya bekerja dengan orang lain. Mereka disasarkan untuk buka peluang kepada orang lain mencari rezeki dan sebar luas kebaikan serta bantuan kepada lebih ramai orang.
“Sekiranya elemen ini dapat diterapkan, kami percaya mereka mampu beri lebih banyak sumbangan kepada komuniti di negara masing-masing. Kami mahu hasilkan orang kaya yang kembali ‘memberi’ kepada masyarakat, sama seperti apa yang dilakukan oleh pengasas AIU, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
“Semua itu berpaksikan kepada nilai-nilai yang ada dalam Islam. Pelajar kami tidak semua muslim tetapi mereka dipasak dengan lima teras nilai murni yang turut ditekankan dalam agama iaitu akidah, akhlak, adab, amanah dan amalan,” katanya.
Abdul Aziz berkata, sebagai contoh ketika ini terdapat 52 pelajar berasal dari Afghanistan menimba ilmu di AIU dan 11 lagi ditawarkan tempat bermula Oktober ini.
“Usaha kami turut mendapat sokongan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara itu dan beberapa negara lain yang berhasrat membantu komuniti mereka mendapatkan akses pendidikan lebih baik.
“Kami tidak guna ejen untuk raih keuntungan, kami bersama NGO bekerja secara pro bono. Niat kami hanya untuk bantu mereka dapat pendidikan lebih baik agar mereka berupaya membantu orang lain pula sekali gus membangunkan komuniti ke tahap lebih baik dalam segala aspek,” katanya.
Sementara itu katanya, sehingga ke hari ini masih terdapat pihak yang sukar untuk percaya dengan kewujudan AIU sebagai sebuah universiti swasta yang bukan berniat meraih keuntungan.
Sedangkan katanya, universiti bertaraf antarabangsa itu memiliki 1,100 pelajar dari 60 negara merangkumi pelbagai agama termasuk Islam, Buddha, Kristian dan Hindu dengan kesemua mereka menerima biasiswa serta elaun RM450 sebulan.
“Mereka yang masuk ke universiti semuanya daripada golongan kurang berkemampuan. Setiap pelajar akan ditemu bual dan jika melibatkan orang tempatan, kami akan pergi ke rumah mereka bagi membuat penilaian terhadap kehidupan keluarga berkenaan.
“Selain itu, mereka perlu sertakan gambar rumah dan latar belakang ahli keluarga untuk dinilai kerana kami mahu memastikan mereka benar-benar layak diberi bantuan terutamanya melibatkan akses kepada pendidikan,” katanya.
Tambahnya, pihak universiti juga sentiasa memastikan keperluan pelajar berkenaan sentiasa dipenuhi selengkap mungkin dan bukan secara ala kadar. – UTUSAN










