Ahmad Samsuri angkat sumpah Menteri Besar Terengganu - Utusan Malaysia

Ahmad Samsuri angkat sumpah Menteri Besar Terengganu

AHMAD Samsuri Mokhtar melafazkan sumpah menyandang jawatan Menteri Besar Terengganu di hadapan Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu, hari ini.

Ahmad Samsuri, 53, yang juga Naib Presiden Pas mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan itu di depan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini pada pukul 3.18 petang

Ahmad Samsuri dilantik semula ke jawatan itu selepas Perikatan Nasional (PN) melakar rekod cemerlang menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri PRN, Sabtu lalu.

Beliau mula dilantik menjadi Menteri Besar kali pertama pada Mei 2018 setelah Pas berjaya membentuk kerajaan negeri hasil kemenangan di 22 daripada 32 kerusi DUN dalam PRU-14.

Ahmad Samsuri adalah bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom.

Pada PRN lalu, beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang untuk penggal kedua dengan majoriti 17,295 undi.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi PN Terengganu memperoleh 20,926 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman yang mendapat 3,621 undi.

Selain pelantikan Ahmad Samsuri, Sultan Mizan turut memperkenankan pelantikan 10 Exco Kerajaan Negeri.

Barisan ADUN yang dikekalkan menjadi Exco Kerajaan Negeri ialah Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Hanafiah Mat (Chukai), Datuk Satiful Bahri Mamat (Paka); Dr Azman Ibrahim (Jabi); Mohd. Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera) dan Ariffin Deraman (Alor Limbat).

Terdapat empat Exco lantikan baharu iaitu Razali Idris (Kijal), Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Hishamuddin Abdul Karim (Tepuh) dan Maliaman Kassim (Ajil).

Pelantikan itu selaras dengan Syarat (1) Perkara 10 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dibaca bersama perenggan (a) di bawah Syarat (2) Perkara 14.

Dengan pelantikan itu, Dr Ahmad Samsuri bersama 10 EXCO dilantik akan memulakan tugas di Wisma Darul Iman, di sini pagi esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya