Kampung Angkat Madani selesai masalah infrastruktur Kampung Chengal Lempong - Utusan Malaysia

Kampung Angkat Madani selesai masalah infrastruktur Kampung Chengal Lempong

SHEIKH ZAHARI SHEIKH SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pemilihan Kampung Chengal Lempong di sini sebagai Kampung Angkat Madani peringkat Kebangsaan diharap dapat menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan infrastruktur di kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Chengal Lempong, Sheikh Zahari Sheikh Sulaiman, 68, berkata, perkara pertama yang ingin dilakukan membina taman didikan kanak-kanak (tadika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Katanya, kampung terbabit tidak pernah memiliki tadika Kemas sendiri sebaliknya hanya menumpang di kampung bersebelahan.

“Apabila diangkat menjadi Kampung Angkat Madani ini, kita harap dapat menyelesaikan masalah dihadapi selama ini.

“Kita harap kita akan terima peruntukan yang disalurkan sekurang-kurangnya kita dapat menjalankan projek terbengkalai seperti membina tadika Kemas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong di sini hari ini.

Sheikh Zahari berkata, dia juga berharap dapat menyelesaikan masalah longkang di situ terutama di hadapan masjid.

“Selain itu, kami juga berharap agar dengan menjadikan kampung ini sebagai Kampung Angkat Madani peringkat Kebangsaan dapat menyelesaikan masalah padang bola yang sudah lebih 10 tahun tidak dapat digunakan selain berharap dapat menyelesaikan masalah lain,” katanya.

Bercerita lanjut katanya, Kampung Chengal Lempong mula diwujudkan pada tahun 1958 dan kini mempunyai lebih 22,044 penduduk meliputi 3,640 keluarga.

Kampung Chengal Lempong berasal dari nama pokok Chengal berusia 1,000 tahun yang tumbang akibat banjir melanda lebih 60 tahun lalu di mana Kampung Chengal Lempong sebelum ini dikenali sebagai Kampung Alor Jambu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN