932 jenis al-Quran dibenar di Malaysia

932 jenis al-Quran dibenar di Malaysia

NIK YUSAIMI Yussof (tengah) menunjukkan sebahagian naskah al-Quran yang dirampas kerana kesalahan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dalam sidang akhbar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) memperaku dan mengesahkan sejumlah 16 pruf akhir teks al-Quran yang diluluskan.

Kelulusan itu menjadikan jumlah keseluruhan al-Quran terkini yang dibenarkan untuk dicetak, diterbit, diimport dan diedar di dalam negara sebanyak 932 jenis.

Menurut Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Nik Yusaimi Yussof, ketetapan tu dibuat menerusi mesyuarat LPPPQ Kali Ke-108/ Bilangan 2.2023 dengan kebanyakan ahli lembaga terdiri daripada mufti-mufti negeri yang dilantik Yang di-Pertuan Agong, sultan atau raja negeri masing-masing.

Selain itu, LPPPQ turut meluluskan pemuliaan (pelupusan) terhadap 2,513 naskhah teks al-Quran dan 10,788 unit bahan al-Quran dari seluruh negara.

“Pemuliaan ini dilaksanakan terhadap teks atau bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN, kesilapan pada ayat, rosak atau usang.

“(Ketetapan turut dibuat) dengan melarang pengimportan, penjualan dan pengedaran al-Quran dan terjemahan tanpa teks bahasa arab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Yusaimi berkata, LPPPQ juga menetapkan semua terjemahan ayat al-Quran di Malaysia hendaklah berpandukan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, semua al-Quran import diwajibkan mematuhi prosedur permohonan, semakan dan perakuan sebagaimana di bawah Seksyen 7 APTQ 1986 sebelum dibenarkan dibawa masuk ke Malaysia.

“Program berimpak ‘Jom Exchange al-Quran (JEQ) diputuskan untuk diteruskan di seluruh negara dalam misi ‘Ke Arah Sifar Al-Quran Tiada Perakuan KDN’.

“Memperaku laporan penguatkuasaan di bawah APTQ 1986 sehingga Jun lalu dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM453,600,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KDN akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penjualan, pengedaran atau bahan Al-Quran yang menyalahi akta ini.

Jika disabitkan kesalahan, jelasnya, pihak atau individu terlibat boleh dihukum sehingga lima tahun penjara dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali atas kesalahan dilakukan.

“Pihak KDN menyeru agar orang ramai memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan teks atau bahan al-Quran yang tiada perakuan KDN dengan menghubungi talian 03-8000 8000 atau melalui laman sesawang www.moha.gov.my,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya