Penganggur baling al-Quran mengamuk di mahkamah

Penganggur baling al-Quran mengamuk di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini bertukar kecoh apabila seorang penganggur tiba-tiba menjerit dan menghamburkan kata-kata kesat.

Tertuduh, Muhammad Adam Abdullah, 39, turut menjerit-jerit sambil mendakwa kerajaan menuntut wang berjuta-juta ringgit daripadanya.

Lelaki gelandangan itu mengamuk selama hampir lima minit di kandang tertuduh dan sebarang usaha untuk menenangkannya tidak ubah seperti mencurah minyak ke dalam api.

Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa kemudian memohon lelaki itu dirujuk untuk menjalani rawatan dan penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan tertuduh menjalani penilaian itu selama sebulan.

Terdahulu, Muhammad Adam didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja melukakan perasaan keagamaan orang awam membaling senaskhah al-Quran dan Surah Yasin ke dalam kantin Madrasah Al-Islah di Sentul, kira-kira pukul 6.15 petang, pada 22 April lalu.

Perbuatan itu dilihat oleh seorang peguam, Mohd. Khairul Nizam Abdul Rasid, 43, yang berada di lokasi kejadian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh yang boleh mencetuskan gangguan ketenteraman awam dan dituduh mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang memperuntukkan denda maksimum RM100.

Dalam pertuduhan berasingan, Muhammad Adam didakwa gagal mengemukakan kad pengenalan untuk pengesahan oleh polis pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1)(a) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa memasukkan dadah amphetamine, methamphetamine dan tetrahydrocannabinol ke dalam badan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, pada pukul 4.05 petang, 23 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun serta pengawasan polis antara dua hingga tiga tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN