80 anak tahanan depot imigresen dipindah dalam masa terdekat

80 anak tahanan depot imigresen dipindah dalam masa terdekat

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika hadir pada majlis perhimpunan bulan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kumpulan pertama seramai 80 anak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelum ini menetap di depot imigresen akan dipindahkan ke penempatan baharu tidak lama lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sebuah pusat penempatan baharu di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun itu akan dipindahkan dalam masa terdekat dan ia satu tindakan paling tepat dari sudut perikemanusiaan oleh Kerajaan Madani.

“Biarlah ia satu permulaan yang kecil dan kali ini usaha itu dikendalikan oleh KDN sendiri dan bukannya kita tidak alu-alukan agensi lain.

“Buat masa ini, 80 kanak-kanak itu diambil daripada Depot Imigresen Semenyih, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Bukit Jalil.

“Negara jiran, Thailand sejak 2019 sudah pun mengasingkan kanak-kanak di bawah 18 tahun daripada depot imigresen mereka,” katanya dalam sidanh akhbar selepas majlis perhimpunan bulan kementerian di sini, hari ini.

Beliau turut mengimbau pengalaman ketika meninjau sebuah Depot Imigresen Semenyih sekitar Februari lalu dan mendapati seorang tahanan wanita dilihat bersama seorang bayi berusia 20 hari.

Pada masa sama beliau mengakui keadaan depot imigresen ketika ini tidak sesuai didiami oleh kanak-kanak apatah lagi bayi yang baru lahir.

“Itulah keadaan depot yang kita ada, lantainya papan dan dindingnya pula dawai besi serta tiada tilam dan alas. Malah angin pagi pula cukup sejuk dan keadaan itu cukup menginsafkan,” katanya.

Justeru, katanya, beliau mahu Ketua Pengarah Imigresen dan penasihat undang-undang kementerian supaya melihat semula akta sedia ada termasuk meneliti konvensyen kanak-kanak bagi mengatasi isu berkenaan.

Selain itu, Saifuddin berkata, pihaknya turut mengalu-alukan pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dalam perkara itu.

Namun, katanya, ketika ini, pusat penempatan kanak-kanak itu akan dikawal oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan terdapat seramai 1,030 kanak-kanak di 20 depot tahanan imigresen melibatkan 579 kanak-kanak lelaki dan 451 kanak-kanak perempuan.

Difahamkan, daripada jumlah itu, 351 mendiami depot tahanan bersama penjaga manakala 679 lagi tanpa penjaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya