3,000 anak muda meriahkan Program Lepak Geng Utagha

3,000 anak muda meriahkan Program Lepak Geng Utagha

MOHAMMAD Yaakub Yusra (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta yang terlibat dalam Program Lepak Geng Utagha di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 3,000 anak muda terlibat dalam Program Lepak Geng Utagha yang diadakan Murtadha Dakwah Centre, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Pengasas Yayasan Murtadha Berhad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof berkata, program julung kali anjuran pihaknya itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada golongan muda  mencorak kehidupan positif menerusi pembabitan dalam aktiviti riadah yang lebih berfaedah.

Katanya, ia program itu juga secara tidak langsung memberi pendedahan kepada anak muda dengan kerja kebajikan yang dapat memperkasakan bangsa, agama dan negara.

“Antara program yang kita adakan termasuk pertandingan bola sepak Liga Sepak Penalti dan sukan elektronik dikenali Madad E-Football 23 Mobile.

“Bagi mendekatkan anak muda dengan majlis ilmu, peserta diajak untuk turut serta dalam kuliah Dhuha sebelum program bermula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Mohammad Yaakub, program itu juga yang merupakan inisiatif Masjid Darul Murtadha bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat tetapi diperluaskan kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan merangkumi aspek kesihatan sesuai kehendak lapisan masyarakat terutamanya golongan muda.

“Ia adalah kesinambungan penubuhan Kelab Budak Masjid yang ditubuhkan bagi mendekatkan anak muda ke masjid.

“Menerusi program itu, Yayasan Murtadha Berhad memberikan wang saguhati kepada anak muda yang hadir untuk solat berjemaah di masjid. Masjid Darul Murtadha juga mengambil iktibar daripada zaman Rasulullah SAW yang memperluaskan peranan masjid kepada pusat aktiviti masyarakat dalam usaha mengeratkan ukhuwah penduduk setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Yaakub berkata, beberapa lagi usaha untuk dilakukan bagi menarik kehadiran orang ramai ke masjid.

“Antaranya adalah dengan menyediakan hotel kapsul sebagai kemudahan buat musafir untuk berteduh sebelum memulakan perjalanan mereka.

“Kemudahan lain adalah taman permainan kanak-kanak bagi menggalakkan anak-anak dan ibu bapa mengunjungi masjid.

“Usaha itu seiring dengan hala tuju Masjid Darul Murtadha yang menjadi sebahagian projek pembangunan Murtadha Dakwah Centre meliputi pembangunan rumah warga emas, kompleks tahfiz integrasi dan stadium e-sukan, hub sukan sunnah serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah yang dilakukan secara percuma,” katanya. – UTUSAN

MOHAMMAD Yaakub Yusra (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta yang terlibat dalam Program Lepak Geng Utagha di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya