1,764 anggota polis bertugas, 22 jalan ditutup

1,764 anggota polis bertugas, 22 jalan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan

ALLAUDEEN Abdul Majid ketika bercakap pada sidang akhbar berhubung jalan yang akan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 1,764 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.

Daripada jumlah itu, seramai 171 orang adalah petugas trafik akan bertugas pada sambutan terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sempena sambutan itu juga, sebanyak 22 jalan akan ditutup.

Kesemua jalan ini ditutup bermula pukul 5 pagi hingga 11 pagi secara berperingkat.

“Kita menjangkakan seramai 100,000 pengunjung akan hadir ke sambutan Hari Kebangsaan ini.

“Bagi yang ingin membawa kenderaan sendiri, tempat letak kenderaan adalah terhad dan pengunjung digalakkan untuk menggunakan shuttle bas yang disediakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Kompleks E dan Putrajaya Sentral untuk ke lokasi acara sambutan.

“Bagi kenderaan e-hailing boleh menurunkan penumpang di sekitar kawasan Masjid Besi, Kiblat Walk dan Jalan Tun Hussein (belakang Istana Kehakiman),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan pengangkutan percuma juga disediakan oleh Perbadanan Putrajaya di Terminal Putrajaya Sentral dan PICC selain digalak menggunakan pengangkutan awam bas, Express Rail Link (ERL) serta Mass Rapid Transit (MRT).

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan sebanyak 18 jalan akan ditutup ketika raptai dan raptai penuh di Dataran Putrajaya pada 27 hingga 29 Ogos.

Ujarnya, antara jalan itu ialah Persiaran Perdana ke Laman Perdana, Lebuh Saujana ke Persiaran Perdana dan ke Lebuh Wadi Ehsan, Lebuh Wawasan ke Lingkaran Gemilang 1, Lebuh Bestari ke Persiaran Perdana dan Jalan Kemerdekaan ke arah Persiaran Perdana.

“Penutupan ketika raptai ini bermula pukul 5 pagi hingga 11 pagi,” katanya.

Jelasnya lagi, sambutan ambang merdeka pula akan diadakan di tiga lokasi sekitar ibu negara iaitu Dataran Merdeka, menara berkembar KLCC serta Bukit Bintang dengan jangkaan pengunjung kira-kira sehingga 30,000 orang.

Allaudeen menegaskan, penggunaan dron tanpa kelulusan selain membawa apa-apa kain rentang, plakat atau banner yang berunsur sensitif adalah tidak dibenarkan sepanjang raptai, ambang merdeka serta hari sambutan.

“Pengunjung diminta membuat perancangan teliti dan hadir lebih awal bagi elak kesesakan selain pastikan kenderaan tidak diletakkan di kawasan larangan,” katanya. – UTUSAN

INFO

Senarai 22 jalan ditutup semasa sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Putrajaya.

1) Persiaran Perdana ke Laman Perdana

2) Lebuh Wawasan ke Persiaran Perdana dua-dua arah

3) Lebuh Saujana ke Persiaran Perdana

4) Lebuh Bestari ke Persiaran Perdana

5) Jalan Pembangunan dari arah Jalan Tun Abd Razak dan Jalan Pemodenan

6) Jalan Kemerdekaan ke arah Persiaran Perdana

7) Jalan Tun Abd Razak ke Lebuh Wawasan

8) Jalan Tuanku Abd Rahman Lebuh Wawasan

9) Jalan P3F ke Persiaran Perdana

10) Jalan P2K ke Persiaran Perdana

11) Jalan P3C ke Persiaran Perdana

12) Jalan P2S ke Persiaran Perdana

13) Jalan P2W ke Persiaran Perdana

14) Jalan P2P ke Persiaran Perdana

15) Lebuh Setia ke Persiaran Perdana

16) Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke Bulatan Putra

17) Lebuh Setia ke Persiaran Perdana

18) Jalan Perpaduan ke Lingkaran Gemilang 1

19) Jalan Tun Hussein ke Lebuh Bestari

20) Persimpangan Lebuh Saujana/Persiaran Perdana

21) Lebuh Sentosa ke Persiaran Perdana

22) Lebuh Wadi Ehsan ke Persiaran Perdana

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN