KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Slamet Riyadi (UNISRI), Surakarta, Indonesia akan memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, latihan dan perkongsian akademik pada masa akan datang.
Hasrat kerjasama itu akan direalisasikan melalui dokumen surat niat (LoI) yang ditandatangani kedua-dua pihak baru-baru ini.
LoI tersebut ditandatangani dalam satu acara yang diadakan di UNISRI, Indenesia sempena ulang tahun ke-43 universiti berkenaan.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pemeteraian LoI antara UMS dan UNISRI itu akan membolehkan mereka saling bekerjasama dalam pelbagai bidang akademik seperti pertukaran idea, maklumat dan bahan ilmiah; kolaborasi dalam projek penyelidikan, penerbitan dan pengajaran.
Di samping itu, mereka juga akan meneroka pembiayaan bagi projek yang mampu memberi manfaat bersama antara kedua-dua pihak serta mengadakan pertukaran pelajar melalui rancangan biasiswa dan latihan amali.
“Kedua-dua universiti juga komited untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada masa akan datang bagi memperkukuhkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, latihan dan perkongsian akademik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Universitas Slamet Riyadi diwakili oleh Rektornya, Prof. Dr Drs Sutoyo. Hadir sama pada majlis itu, adalah Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.
Sebelum ini, Dr. Geoffrey telah menerima undangan sebagai penceramah jemputan di Fakulti Ekonomi UNISRI bagi menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pemasaran digital dan pengurusan kos untuk meningkatkan prestasi syarikat’ di hadapan 87 orang pelajar dan warga universiti.- UTUSAN










