UMP kini dikenali sebagai UMPSA

UMP kini dikenali sebagai UMPSA

MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) dan Yuserrie Zainuddin (dua dari kanan) memegang plakad nama dan penjenamaan baharu UMPSA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini dijenamakan sebagai Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) seiring usia 21 tahun kewujudan institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit menelusuri kegemilangan pendidikan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan penggunaan logo dan nama UMPSA mengikut Warta Kerajaan Persekutuan yang berkuat kuasa pada 14 April lalu.

Universiti ini bermula dengan Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM) iaitu sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ke-16 diwartakan pada 16 Februari 2002. Setelah lima tahun beroperasi, kerajaan mengumumkan pertukaran nama kepada UMP pada 1 Februari 2007.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, penjenamaan universiti itu kepada UMPSA tatkala berada di puncak kejayaan ini bertepatan dengan visi IPT terbabit ke arah sebuah universiti teknologi terunggul.

“Walaupun sudah bertukar nama, bidang fokus utama universiti dan program pengajian serta enrolmen tidak berubah mengikut matlamat tujuan penubuhannya.

“Penjenamaan ini akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik, pengantarabangsaan dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara,” katanya di sini semalam.

Yuserrie berkata, kebolehpasaran graduan UMP membanggakan apabila mencapai 98.67 peratus dan antara tertinggi di Malaysia.

“Penjenamaan ini juga akan membina keterlihatan, reputasi dan keupayaan universiti seiring perkembangan serta pencapaian universiti yang diiktiraf dunia. Selain itu, universiti ini menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi.

“Sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa. Program kejuruteraan menggunakan model bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman penanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia,” katanya.

Tambah Yuserrie, dalam bidang penyelidikan pula, universiti ini memberi tumpuan kepada penyelidikan gunaan dan projek-projek industri dengan industri setempat bagi memperkayakan pengajaran dan pembelajaran di samping mempromosikan aktiviti-aktiviti pengkomersialan produk penyelidikan untuk manfaat masyarakat seiring slogan ‘Teknologi untuk Masyarakat’.

“Lebih membanggakan universiti juga berjaya mengukuhkan hubungan baik menjangkau usia 13 tahun hasil jalinan kerjasama akademik antara UMPSA dan HKA bagi mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman dalam sistem pendidikan teknikal negara dalam program ijazah dual di bidang Kejuruteraan Mekatronik, Automotif dan Elektrikal bagi melahirkan lebih ramai graduan kompeten yang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ini termasuk Program Kejuruteraan Perniagaan akan bersama Mannheim University of Applied Sciences dan lain-lain. Selain Jerman dan Kazakh National Agrarian University, program Ijazah dual kini diperluas ke China dan pada tahun ini seramai 46 pelajar mengikuti program di Beijing Jiaotong University (BJTU) China bagi mengikuti Program Ijazah Dual UMPSA-BJTU membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal ini bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara.

“Universiti turut bekerjasama dengan universiti di China termasuk program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) serta program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU), LiuZhou Railway Vocational Technology College Guangxi, China (LZRVTC), Baotou Railway Vokasional & Technical College dan lain-lain. Manakala program baharu melibatkan kerjasama dengan Fakulti Komputeran dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam bakal diterokai institusi di Korea Selatan termasuk bersama Hanyang University ERICA. Kolaborasi universiti dengan pihak industri sebagai rakan sinergi pastinya mampu memperkasa bidang TVET dalam memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi berteraskan teknologi dan inovasi.

“Pastinya penjenamaan UMPSA ini akan terus melestari kegemilangan universiti ke arah universiti teknologi terunggul di persada dunia,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau berkata, UMPSA sentiasa berusaha memperkenalkan teknologi serta amalan kelestarian kepada masyarakat, mendidik serta lebih utama menjadi suri teladan tentang prinsip-prinsip kelestarian.

“Hasil komitmen warga UMPSA, universiti berjaya mencapai kedudukan sebaris universiti terbaik dunia apabila tersenarai di kedudukan 201-250 di dunia dalam Times Higher Education Young University Rankings 2023 (THE Young) yang menyenaraikan universiti terbaik dunia bagi universiti berusia 50 tahun atau lebih muda baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya