Tiada kejadian wanita diserang warga asing di poliklinik

Tiada kejadian wanita diserang warga asing sebaliknya berebut periksa kesihatan

MOHD. ZAID HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Tiada sebarang kejadian serangan berlaku membabitkan sekumpulan warga asing di sebuah poliklinik di Taman Prima Saujana di sini, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Sebaliknya, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, kejadian itu adalah perebutan antara dua kumpulan warga asing ketika hendak mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik terbabit.

Menurutnya, satu laporan telah diterima polis pada pukul 8.23 malam semalam oleh seorang doktor berusia 35 tahun susulan video kejadian yang tular di aplikasi TikTok yang dimuat naik sebuah akhbar tempatan yang bertajuk ‘tular sekumpulan warga asing bawa kayu hoki serang wanita’.

“Menurut pengadu, kira-kira pukul 6 petang Rabu lalu, semasa stafnya sedang bertugas di poliklinik terbabit, telah hadir dua kumpulan disyaki warga Bangladesh untuk pemeriksaan kesihatan.

“Kedua-dua kumpulan ini telah dibawa oleh dua ejen berlainan yang juga warga Bangladesh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, semasa dua kumpulan warga asing berada di hadapan poliklinik, telah berlaku pertengkaran antara mereka sehingga kedua-dua kumpulan membawa keluar beberapa batang kayu hoki.

Katanya, keadaan menjadi semakin tegang sehingga berlaku tolak menolak antara mereka dan salah seorang suspek telah masuk dalam poliklinik sehingga menyebabkan staf menjerit dan menghalau keluar kesemua warga asing dari situ.

“Punca kejadian adalah perebutan untuk pemeriksaan kesihatan. Siasatan juga dapati, tiada kejadian ‘warga asing serang wanita di klinik’ seperti viral di sosial media,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah membuat tangkapan tiga lelaki warga Bangladesh berusia antara 24 hingga 32 tahun di sekitar kawasan Sentul dan Setapak, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.

“Kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes ini dan telah direman empat hari sehingga 24 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.

Tambahnya, polis menyeru dan mengingatkan semua pihak supaya tidak terpengaruh dan jangan menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

“Jika didapati bersalah, tindakan undang-undang boleh dikenakan. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Norhafizah Borhannudin di talian 018-3903410 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN