PETALING JAYA: Kebanyakan mangsa penipuan atau ‘scam’ sedar terhadap jenayah terbabit, namun masih terpedaya apabila mendapat panggilan daripada mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan analisis pihak polis, kebanyakan mangsa yang tertipu menyedari kewujudan penipuan tersebut yang diuar-uarkan melalui media massa serta amaran pihak berkuasa.
Malah, katanya, ada dalam kalangan ahli keluarga serta rakan terdekat mangsa yang terlebih dahulu menjadi mangsa penipuan.
“Bagaimanapun, apabila ia berlaku pada mereka juga turut tertipu sebab panik dan takut walhal mangsa dah tahu taktik jenayah ini.
“Saya selalu menasihatkan, jangan sesekali layan apabila mendapat panggilan orang tidak dikenali disyaki scammer. Itu antara punca utama mengapa ramai mangsa terpedaya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah beliau, sindiket penipuan akan selalu mengubah modus operandi mereka bagi memperdaya mangsa.
“Yang terbaharu, mereka menggunakan kaedah kononnya menculik anak-anak sebelum meminta wang tebusan kepada ibu bapa dan ahli keluarga walhal ia sebenarnya scammer,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Ramli, sebanyak 4,836 kes jenayah telekomunikasi dengan kerugian RM284 juta direkodkan pada 2022 hingga Jun lalu.
Jelasnya, jumlah itu melibatkan 3,370 kes dengan kerugian RM196.7 juta pada 2022 dan 1,466 kes (RM87.3 juta)
“Dalam tempoh enam bulan tahun ini, jumlah tertinggi dilaporkan di Selangor iaitu 196 kes diikuti dengan Pulau Pinang (180 kes) serta Kuala Lumpur (174 kes).
“Pada tahun lalu, kes tertinggi direkodkan di Kuala Lumpur iaitu 411 kes diikuti Negeri Sembilan (406 kes) serta Selangor (356 kes).
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan sebanyak 2 bilion panggilan berbentuk jenayah penipuan disekat sejak 2017 hingga Mei lalu.
Turut dilaporkan, sebanyak 581 juta mesej mengandungi elemen terlarang turut disekat sejak 2021 hingga Mei lalu manakala 32 juta mesej mengandungi pautan URL dari 2 Mei hingga 31 Mei lalu. – UTUSAN










