Strok haba: Anggota PLPGA bercita-cita sertai Vat 69 - Utusan Malaysia

Strok haba: Anggota PLPGA bercita-cita sertai Vat 69

IBU Allahyarham Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam, Norizan Idris menunjukkan gambar anaknya yang meninggal dunia akibat strok haba.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Anggota Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta, Konstabel Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam, 21, yang meninggal dunia akibat strok haba kelmarin, memasang impian menyertai Pasukan 69 Komando (VAT 69).

Ibu Allahyarham, Norizan Idris, 49, berkata, anak kedua da­ripada tujuh beradik itu memberitahu akan turut serta dalam pemilihan hujung tahun ini.

“Irfan memang impi nak ma­suk komando. Apabila ditempatkan di PGA Ulu Kinta, dia beritahu mahu sertai pasukan itu. Mungkin hari-hari melihat komando menyebabkan dia memasang impian sama.

“Saya tiada halangan, lagipun dia memang gemarkan aktiviti lasak. Apapun yang dia minat, sebagai ibu saya sokong,” kata­nya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa Muhamad Irfan pada pukul 5.30 petang selepas dihubungi PGA yang memaklumkan anaknya rebah ketika kursus dipercayai akibat strok haba.

Tambahnya, kali terakhir dia berjumpa anaknya itu pada Aidiladha lalu dan tiada sebarang perubahan ketara ditunjukkan Muhamad Irfan melainkan lebih banyak duduk di rumah.

Terdahulu, Muhamad Irfan dilaporkan meninggal dunia selepas rebah sebelum diserang sawan dan meracau ketika mengikuti kursus asas Pasukan PGA Siri 1/2023.

Komandan PLPGA Ulu Kinta, Superintenden Mohammad Hafiz Kadir berkata, Allah­yarham disahkan diserang strok haba berdasarkan hasil bedah siasat Jabatan Forensik HRPB pada pukul 8 pagi semalam.

Difahamkan, Muhamad Irfan daripada Cawangan Kompeni Demo PLPGA itu baharu sahaja tiga hari melapor diri sebagai peserta kursus tersebut pada Ahad lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN