SPRM kesan aset, wang dikaitkan 1MDB milik Jasmine Loo

SPRM kesan aset, wang dikaitkan 1MDB milik Jasmine Loo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Usaha menjejak dan mengesan aset milik bekas peguam 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan sedang giat dilakukan pihak berkuasa dalam melakukan pemulihan aset membabitkan dana 1MDB yang diseleweng dipercayai berada di dalam dan luar negara.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tindakan itu adalah usaha berterusan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi terlibat selepas Jasmine Loo ditahan Jumaat lalu.

Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan terdapat aset-aset milik Jasmine Loo yang dikaitkan dengan dana 1MDB terdapat sebahagiannya berada di negara ini selain di beberapa negara luar termasuk di United Kingdom, Switzerland, Perancis dan Singapura.

“Setakat ini, dipercayai lebih kurang RM100 juta aset dan wang tunai milik Jasmine Loo yang dikaitkan 1MDB dikesan pihak berkuasa berada di dalam dan luar negara,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, sumber berkata, sebanyak RM29 bilion dana pemulihan aset 1MDB berjaya diperoleh SPRM melalui pelbagai kaedah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya sedia memanggil Jasmine Loo sejurus siasatan polis terhadap wanita itu selesai.

JASMINE LOO AI SUAN

Beliau berkata, tindakan memanggil Jasmine Loo adalah bagi siasatan lanjut berkaitan penyelewengan 1MDB yang sedang dilakukan SPRM.

Kata Azam, kesediaan Jasmine Loo yang mahu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang masih melakukan siasatan ke atas 1MDB adalah sesuatu yang baik.

“Kita akan biarkan polis siasatan dahulu, selepas itu baru kita akan panggil dia (Jasmine Loo) untuk bantu siasatan kami pula,” katanya.

Sementara itu, polis tidak dapat mendedahkan maklumat terperinci berhubung penaha­nan Jasmine Loo atas sebab ke­selamatan wanita itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, wanita tersebut ketika ini dalam tahanan reman polis bagi siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh nak dedahkan sampai bila dia ditahan dan sebagainya. Biar pihak polis jalankan siasatan dahulu

“Dia dipercayai baru pulang ke negara ini sebelum tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersama peguamnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Razarudin, pihaknya sedang mengesan lebih tiga individu dipercayai membantu siasatan kes 1MDB.

“Mereka itu kita percaya saksi yang dapat membantu kes tersebut,” ujarnya.

Semalam, Razarudin dilaporkan berkata, Jasmine, 49, ditahan 7 Julai lalu selepas menye­rah diri bersama peguamnya dan kini dalam tahanan reman mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Jasmine Loo yang kini dalam tahanan reman polis bersedia menceritakan perjalanan hidupnya sepanjang berada di luar negara sejurus meninggalkan Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Peguam Amer Hamzah Arshad dan Edmund Bon dalam satu kenyataan semalam berkata, anak guamnya itu kini berada dalam tahanan polis setelah direman.

Jelas kenyataan itu, buat masa sekarang Jasmine memerlukan privasi dan  ruang untuk melakukan apa yang sepatutnya  sebelum dibenar  kembali ke pangkuan keluarga.

Kenyataan itu turut menyebut, tindakan menyerah dir juga adalah kerana Jasmine mahu bekerjasama dengan agensi  penguatkuasaan yang masih melakukan siasatan ke atas  1MDB.

Tindakan Jasmine juga boleh memudah dan membantu kerajaan mempercepatkan usaha pemulihan aset. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×