Simpanan KWSP umpama duit pencen: Ahli ekonomi

Simpanan KWSP umpama duit pencen: Ahli ekonomi

Wang caruman KWSP adalah umpama duit pencen bagi kakitangan swasta dan ia perlu diurus dengan bijak untuk mengelak kesulitan di kemudian hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi menyifatkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu ada had memandangkan ia juga boleh diumpamakan sebagai wang pencen pekerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, cadangan untuk mengeluarkan wang KWSP secara bulanan itu mungkin boleh dilaksanakan namun perlu ada syarat tertentu.

“KWSP jadi lebih macam pencen, okeylah tetapi ada hadnya mungkin. Bagi pengguna atau ahli yang ada duit simpanan berjuta, mungkin boleh keluarkannya.

“Tetapi jika pengguna itu ada duit simpanan kurang lebih RM500,000 misalnya, lebih baik dapat macam pencen bulanan untuk pastikan ada pendapatan berterusan sehingga tua atau meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, Nungsari yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yaysan Rahimah bt. Yusof turut bersetuju jika cadangan menjadikan pengeluaran umur 55 tahun ke atas mandatori secara bulanan.

“Sekarang ini memang boleh keluarkan akaun 2 apabila umur 55 dan wang simpanan itu kesemuanya boleh dikeluarkan apabila umur 60 tahun. Sekarang, apa yang saya faham, kerajaan nak jadikan pengeluaran umur 55 itu secara bulanan, bukan sekali gus.

“Kalau belum 60 tahun, bila dah sampai umur 55, boleh keluarkan akaun 2 secara bulanan. Masih ada baki yang boleh dapat dividen.

“Umur 55 hingga 60 tahun masih boleh bekerja. KWSP adalah semasa tak bekerja iaitu selepas umur 60 tahun,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka dengan cadangan KWSP untuk menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila pencarum mencecah usia 55 tahun sebagai mandatori bagi pencarum baharu.

Beliau melihat langkah itu boleh memastikan pencarum mempunyai wang yang cukup untuk menyara hidup selepas bersara.

Hal yang sama disokong oleh Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid yang menganggap cadangan baru tersebut sebagai suatu penambahbaikan terutama dalam mengambil kira trend semasa terutamanya ketika Covid-19.

“Ia seumpama pencen yang diterima kerana terdapatnya bayaran berkala dan ini dapat memastikan ahli KWSP yang sudah bersara akan terus mendapat wang tunai setiap bulan.

“Di samping itu, baki wang di KWSP itu bakal menikmati kadar dividen yang diumumkan setiap tahun oleh KWSP.

“Meskipun demikian, mungkin perlu ada suatu bentuk fleksibiliti supaya ahli boleh memi­lih skim yang mana bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×