SEPERTI semua sedia maklum, Majlis Syura Ulama Pas telah selesai menapis ratusan calon parti itu yang dikemukakan untuk pilihan raya negeri (PRN) membabitkan enam negeri.
Secara asasnya, majlis syura parti itu telah memilih calon-calon yang layak untuk bertanding dan tidak terkecuali nama Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang berulang kali telah dinyatakan untuk dipertaruh bagi meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat khususnya di Kelantan.
Persoalannya, adakah peranan syura hanya sekadar melakukan tapisan atau menyenarai pendek nama calon yang akhirnya keputusan tetap masih ditentukan oleh Pusat atau Perhubungan Pas negeri masing-masing?
Asasnya, Majlis Syura sememangnya berperanan dalam menentukan keputusan-keputusan besar khususnya melibatkan dasar dan hubungan antara parti.
Malah Majlis Syura juga boleh membatalkan sesuatu keputusan meskipun sudah diputuskan jawatankuasa Pas pusat atau muktamar jika didapati melanggar syarat.
Sebenarnya peranan majlis syura cukup besar di dalam Pas. Jika masih ingat, semasa zaman Allahyarham Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am, majlis berkenaan begitu tegas dan cukup digeruni.
Malah, di peringkat Pas pusat sendiri pun pada masa itu, aura Allahyarham sangat digeruni khususnya dalam menentukan dasar atau keputusan-keputusan besar parti itu dan jarang dipertikaikan.
Dalam soal Nik Abduh khususnya, adakah bekas Ahli Parlimen Bachok itu akan dipilih sebagai calon meskipun nama beliau layak untuk bertanding seperti diputuskan syura?
Persoalannya, adakah nama Nik Abduh akan ‘direstui’ pusat atau perhubungan negeri itu kali ini kerana difahamkan hubungan antara mereka dilihat tidak berjalan begitu baik?
Adakah syura akan tampil kali ini untuk mempertahan keputusan pemilihan Nik Abduh jika nama anak Allahyarham Nik Abdul Aziz itu tidak terpilih sebagai calon meskipun layak bertanding?
Meskipun difahamkan tugas Majlis Syura hanya menentukan kelayakan calon namun majlis itu merupakan hierarki tertinggi parti khususnya dalam menentukan sesuatu keputusan besar.
Nik Abduh dalam respons berkaitan soal calon tersebut baru-baru ini secara berseloroh mahu pucuk pimpinan mengumumkan dahulu namanya sebelum membuat pertimbangan sama ada mahu menerima mandat tersebut atau tidak.
“Seperti yang dijawab sebelum ini, saya serah kepada parti untuk membuat keputusan. Saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan berhubung perkara ini,” katanya. – UTUSAN










