PETALING JAYA: Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Tanjung Dawai.
Ini menggenapkan jumlah keseluruhan 108 kerusi yang bakal ditandingi oleh BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mandat itu diamanahkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya juga mewakili BN merakamkan penghargaan kepada Pakatan Harapan (PH), atas semangat perpaduan memberikan laluan kepada BN untuk bertanding di kerusi DUN Tanjung Dawai.
“Kepada Allah kita berserah. Mudah-mudahan diberikan kemenangan oleh Allah jua,” katanya dalam kenyataan.
Minggu lalu, BN mengumumkan 107 calon yang akan bertanding PRN kali ini, namun kerusi DUN Tanjung Dawai tidak diumumkan.
BN akan bertanding 15 daripada 36 kerusi DUN Kedah, manakala selebihnya ditandingi PH.
DUN Tanjung Dawai ditandingi UMNO dan BN sejak 1986 tetapi kerusi itu kini disandang oleh Pas sejak 2018. – UTUSAN










